KERAJAAN BINA KEDIAMAN MODEN UNTUK TENTERA DI TAWAU | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

KERAJAAN BINA KEDIAMAN MODEN UNTUK TENTERA DI TAWAU

TAWAU, SABAH – Kerajaan terus komited meningkatkan ekosistem pertahanan negara apabila YB Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia hari ini turun padang meninjau kemajuan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Tambahan Pelbagai Kelas di Kem Kabota, Tawau yang kini sedang giat dilaksanakan.

Projek ini adalah antara inisiatif Kerajaan untuk memperkukuhkan kebajikan warga pertahanan dan keluarga mereka menerusi penyediaan perumahan yang moden, selesa dan selamat. Projek bernilai RM97.00 juta ini telah dimulakan pada 2 Mei 2023 dan dijangka siap pada 31 Oktober 2026. Setakat hari ini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 14% dan dijangka dapat disiapkan mengikut masa, kos dan spesifikasi yang ditetapkan.

Projek ini dilaksanakan secara konvensional perunding oleh kontraktor Erawan Power Sdn. Bhd. dengan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) sebagai agensi pelaksana dan Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia bertanggungjawab untuk memantau pengurusan dan pelaksanaan projek.

Antara kemudahan yang bakal disediakan bila projek ini siap kelak adalah:

• 9 blok Pangsapuri Kelas G

• Pangsapuri Kelas C1, E & F

• Rumah banglo dan rumah berkembar (semi-D)

• Tadika dan taska

• Gelanggang serbaguna dan taman permainan

• Menara tangki air baharu

Semua infrastruktur yang dibina ini akan memberi manfaat besar kepada anggota tentera dan keluarga mereka, menjadikan kehidupan lebih selesa dan seimbang. Suasana persekitaran yang moden dan lengkap juga dijangka dapat menjadi pemangkin dalam meningkatkan semangat serta motivasi mereka menggalas tanggungjawab kepada negara.

Projek ini membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menyediakan perumahan yang berkualiti untuk rakyat, khususnya anggota pertahanan selaras dengan teras utama Malaysia MADANI yang mengutamakan ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan mampan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pihak JKR terus memantau rapi kemajuan projek ini dan sentiasa bekerjasama dengan pihak kontraktor serta melakukan libat urus dan pemeriksaan yang berterusan supaya ianya dapat disiapkan mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan bagi mempercepatkan manfaatnya kepada anggota pertahanan awam dan keluarganya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5