TINJAUAN KEMAJUAN PROJEK PEMBINAAN BANGUNAN BAHARU 12 BILIK DARJAH DAN LAIN-LAIN KEMUDAHAN DI SK KUNAK JAYA, KUNAK | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

TINJAUAN KEMAJUAN PROJEK PEMBINAAN BANGUNAN BAHARU 12 BILIK DARJAH DAN LAIN-LAIN KEMUDAHAN DI SK KUNAK JAYA, KUNAK

KUNAK, SABAH – Kerajaan Persekutuan terus menunjukkan komitmen yang konsisten dalam memperkukuh ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang kondusif, selamat dan selesa di Sabah apabila YB Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Hj Ahmad bin Hj Maslan hari ini turun padang meninjau kemajuan Projek Pembinaan Bangunan Baharu 12 Bilik Darjah dan kemudahan lain di Sekolah Kebangsaan (SK) Kunak Jaya.

Kerja pembinaan telah bermula pada 11 Jun 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada 9 November 2026. Antara komponen utama projek ini ialah pembinaan 12 bilik darjah baharu, blok pentadbiran, bilik sains, bilik khas, bengkel, makmal komputer, surau, kantin, serta kemudahan mesra OKU dan lain-lain infrastruktur sokongan. Bila siap kelak, sekolah ini dijangka dapat menampung pertambahan bilangan murid yang meningkat setiap tahun.

Dilaksanakan secara kaedah Reka dan Bina, projek ini dikendalikan oleh kontraktor Merak Sutra Sdn. Bhd. dengan kontrak bernilai RM24.29 juta. Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) bertindak sebagai agensi pelaksana, dengan pemantauan rapi oleh Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia.

Setakat hari ini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 18.0% dengan prestasi kerja sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan projek ini dapat disiapkan seperti yang dijadualkan mengikut spesifikasi kualiti dan kos yang telah ditetapkan. 

Kementerian Kerja Raya (KKR) yakin apabila siap kelak, bangunan baharu 12 bilik darjah ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat Kunak terutama dalam meningkatkan mutu pembelajaran kepada lebih 500 murid SK Kunak Jaya.

KKR berharap pihak JKR terus memantau rapi kemajuan projek ini dan sentiasa bekerjasama dengan pihak kontraktor serta melakukan libat urus dan pemeriksaan yang berterusan supaya ianya dapat disiapkan mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan bagi mempercepatkan manfaatnya kepada komuniti setempat, khususnya murid-murid, tenaga pengajar dan kakitangan sokongan SK Kunak Jaya. 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5