PROJEK MENAIKTARAF JAMBATAN MERENTASI SUNGAI MARANG DI LALUAN FT003 BERJALAN LANCAR | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

PROJEK MENAIKTARAF JAMBATAN MERENTASI SUNGAI MARANG DI LALUAN FT003 BERJALAN LANCAR

MARANG, TERENGGANU  – Yang Berhormat Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia telah turun padang meninjau kemajuan projek Kerajaan Persekutuan menaiktaraf jambatan merentasi Sungai Marang di laluan FT003 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan (FT003), Marang, Kuala Terengganu.

Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya selaku agensi pelaksana telah dimulakan pada 9 Disember 2021 dengan kos kontrak bernilai RM338.0 juta dan dijangka siap pada sukuan kedua tahun 2027. Sehingga 30 Jun 2025, projek ini telah mencapai kemajuan fizikal 54.70%.

Pembinaan yang melibatkan jajaran sepanjang 2.5km, merangkumi pembinaan jambatan Sungai Marang iaitu sepanjang 220m dan jejambat merentasi Bandar Marang sepanjang 680m serta 1.5km naiktaraf jalan sedia ada. Pembinaan ini adalah melibatkan naiktaraf jalan kepada empat (4) lorong dua (2) hala.

Pelaksanaan projek ini turut mengadaptasi metodologi Building Information Modelling (BIM) dalam kitar hayat pelaksanaan projek. Model digital ini akan digunakan oleh pelbagai pihak bagi meningkatkan tahap keberkesanan pengurusan asset menyeluruh.

Apabila siap kelak, jambatan baharu ini akan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya dengan keupayaan empat lorong dua hala yang lebih efisien, selamat dan selesa. Di samping menyuraikan masalah kesesakan jalan raya terutama ketika waktu puncak dan perayaan, laluan baharu ini juga dapat menjimatkan masa yang ketara kelak.

Pembinaan jambatan baharu ini juga direka bentuk bagi membolehkan kapal

nelayan Zon C (Zone C Fishing Vessel) boleh menyusuri lebih ke hulu dan tidak lagi tersekat oleh ketinggian jambatan sedia ada yang telah berusia lebih 55 tahun. Dengan pembinaan jambatan baharu ini pastinya dapat merangsang pertumbuhan ekonomi setempat khususnya dalam sektor perikanan dan logistik maritim bagi daerah Marang.

Kementerian Kerja Raya komited dalam memastikan infrastruktur yang lebih selamat, cekap dan mampan dapat disediakan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0