TURUN PADANG YB TIMBALAN MENTERI KE KOTA BELUD SABAH
KOTA BELUD, SABAH – Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia meneruskan program turun padang beliau yang kedua dalam siri lawatan kerja ke Sabah dengan meninjau Projek Pembinaan Gantian Penuh 12 Bilik Darjah dan Lain-lain Kemudahan di Sekolah Kebangsaan Nanamun, Kota Belud, Sabah.
2. Projek ini juga milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaksanakan secara Reka dan Bina di mana Pasukan Projek Khas 2 JKR Malaysia, telah dilantik sebagai agensi pelaksana. Kaedah perolehan projek pula adalah secara tender terbuka dengan nilai kontrak bernilai RM 17.3 juta. Kontraktor yang terpilih ialah Syarikat Tenom Quarry di mana kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada 14 Julai 2022 dan dijangka siap pada 8 Ogos 2025.
3. Pembinaan blok gantian ini dibina di tapak asal sekolah seluas 4.55 ekar dengan komponen utama termasuk Blok Pentadbiran, Blok Akademik, Blok Kantin, Blok Surau, Blok Bilik Komputer, Dewan Serbaguna, Blok Perpustakaan, Blok Kesihatan, Menara Tangki Air, Loji Rawatan Kumbahan, Pencawang SESB dan kerja-kerja infrastruktur sokongan.
4. Pembinaan ini amat penting dan keperluannya sangat mendesak memandangkan bangunan asal sekolah yang telah usang. Pembinaan ini pastinya akan menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menyediakan ekosistem pembelajaran dan pengajaran yang lebih kondusif dan selesa kepada guru-guru dan murid-murid. Bila siap nanti, bangunan baharu ini mampu menampung sepenuhnya keperluan tempat belajar yang semakin meningkat, selaras dengan pertsmbahan enrolmen murid baharu di kawasan tersebut.
5. Berdasarkan tinjauan hari ini projek berjalan mengikut jadual dan tiada isu kritikal yang dilaporkan. Pihak KKR dan KPM menyeru agar Pegawai Penguasa dan Pasukan Projek dari JKR terus memantau rapi pengurusan dan pelaksanaan projek ini serta memandu kontraktor bagi memastikan projek ini disiapkan mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan. Usaha ini sejajar dengan tiga dari enam teras utama Malaysia MADANI iaitu kesejahteraan, ihsan dan kemampanan yang memfokuskan kepada peningkatan kualiti ekosistem pendidikan yang menyokong kepada kecemerlangan dan keselamatan murid dan seluruh warga sekolah.
- Log in to post comments