MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG KEMENTERIAN KERJA RAYA BAGI TAHUN 2024
KUALA LUMPUR - Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kerja Raya bagi Tahun 2024 disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR, YBhg. Datuk Zainal Alhakab Seman, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Wira Roslan Ismail serta Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, YBrs. Puan Zainora Zainal.
Tema majlis pada kali ini ialah “Teknologi Memacu Prestasi”, seiring dengan arus transformasi digital yang melanda sektor pembinaan dan perkhidmatan awam.
Seramai 894 orang penerima terdiri daripada 8 orang pesara KKR, 60 orang penerima KKR, 728 penerima JKR, 78 orang penerima CIDB serta 28 orang penerima LLM dianugerahkan Sijil Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2024.
Majlis ini turut meraikan penerima Anugerah Khas KKR iaitu YBhg. Dato’ Zahrul Hakim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Kesihatan Malaysia atas sumbangan dan khidmat bakti sepanjang 27 tahun perkhidmatan di Kementerian Kerja Raya dengan penempatan terakhir sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Kementerian Kerja Raya.
Turut diraikan adalah Encik Abdul Aziz bin Mohamad Noor, Jurufotografi KKR yang merupakan penerima APC Khas KKR Tahun 2024 atas komitmen dan dedikasi sebagai Jurufotografi Kementerian selama 40 tahun.
Anugerah ini adalah pengiktirafan terhadap dedikasi, komitmen dan kecemerlangan dalam menjalankan amanah serta tanggungjawab yang diberikan. Ia mencerminkan nilai murni seorang penjawat awam yang bukan sahaja cekap dan berintegriti, tetapi juga sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik demi kemajuan organisasi dan kesejahteraan masyarakat.
Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada semua rakan sekerja untuk terus berusaha mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi. Sekali lagi, tahniah diucapkan. Teruskan kecemerlangan!
- Log in to post comments