PENYERAHAN 17 UNIT RUMAH GURU BAHARU YANG SIAP LEBIH AWAL BAGI MENINGKATKAN LAGI EKOSISTEM PENDIDIKAN DI SEKOLAH MENENGAH AGAMA IGAN, SARAWAK | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

PENYERAHAN 17 UNIT RUMAH GURU BAHARU YANG SIAP LEBIH AWAL BAGI MENINGKATKAN LAGI EKOSISTEM PENDIDIKAN DI SEKOLAH MENENGAH AGAMA IGAN, SARAWAK

IGAN, SARAWAK, 25 APRIL 2025 – Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) menyerahkan satu lagi projek milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berjaya disiapkan 365 hari lebih awal daripada tarikh siap asal. Projek ini diuruskan oleh Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku agensi pelaksana.  

2. Projek pembinaan tambahan 17 unit rumah guru dan kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Igan, Sarawak dimulakan pada 5 Julai 2023 menerusi kaedah Reka dan Bina. Berikutan prestasi yang cemerlang, Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan lebih awal pada 30 Disember 2024.  Penyerahan projek ini melibatkan enam (6) kejayaan yang membanggakan iaitu pemberian Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), penyerahan Lukisan Siap Bina, penyelesaian Penyata Akaun Muktamad (SOFA), pengiktirafan Projek Siap Awal sebanyak 365 hari, rekod Sifar Kemalangan Maut serta penyediaan Manual Operasi dan Penyelenggaraan.  

3. Lokasi SMK Agama Igan terletak di luar bandar, agak jauh daripada kawasan penempatan kecil penduduk di Kampung Igan. Pekan yang berdekatan adalah Pekan Kecil Oya yang terletak dalam jarak 19 kilometer, manakala bandar terdekat adalah Mukah dengan jarak 48 kilometer dari Kampung Igan. Keadaan 24 unit kediaman guru sedia ada di SMK Agama Igan sudah lama, agak usang dan tidak lagi selesa untuk dihuni. Selain daripada itu, unit kediaman tersebut tidak dapat menampung jumlah penghuni sedia ada. Justeru, pembinaan tambahan 17 unit rumah guru baharu menyediakan kediaman yang kondusif, selamat dan selesa. 

4. Selaras dengan Nilai Teras Malaysia MADANI iaitu KESEJAHTERAAN, KEMAMPANAN dan IHSAN, kediaman baharu ini dapat meningkatkan lagi ekosistem pendidikan di sekolah berkenaan khususnya menjaga kebajikan guru-guru dan petugas yang bertugas di sekolah berkenaan.  

5. Skop projek pembinaan SMK Agama Igan melibatkan pembinaan 17 unit kuarters (Kelas F) dan kemudahan lain yang merangkumi rainwater harvesting tank, elevated water tank and suction tank, pemasangan servis elektrikal, mekanikal dan ICT serta skop kerja luar bangunan seperti penyediaan tempat letak kereta terbuka dan berbumbung, concrete pavement, sistem saliran, sistem retikulasi air dan pembentungan.

6. Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan pelaksanaan projek ini dalam RMK-12 (RP-2) pada tahun 2020 dengan kos bernilai RM16.390 juta. Pembinaan projek ini menggunakan teknologi Building Information Modelling (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang merangkumi penggunaan sistem acuan, komponen Blok Dinding Ringan (AAC Block) dan komponen kekuda bumbung (keluli tolok ringan) bagi meningkatkan lagi kecekapan dalam pembinaan.

7. Dari segi latar belakang, SMK Agama Igan dibina pada tahun 1998 di atas tanah berkeluasan 13.554 hektar yang berstatus Native Area Land di bawah hak milik Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pendidikan. Sekolah ini mula menerima kehadiran 180 pelajar Tingkatan 1 pada 1 Januari 1999.  

8. KKR ingin merakamkan penghargaan kepada KPM atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan kepada Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia termasuk membantu dalam aspek penyeliaan di tapak hingga projek disiapkan. Segala pengalaman dalam projek pembinaan ini boleh dijadikan panduan dalam pelaksanaan projek-projek sekolah pada masa hadapan.

9. KKR juga menyeru pihak kontraktor untuk melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP). JKR Malaysia akan terus memantau urusan ini bagi memastikan kerja-kerja dilaksanakan dengan sempurna mengikut peraturan berkuat kuasa.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0