Seminar Kerjasama Teknologi Jalan Raya & Pembinaan Korea-Malaysia | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

Seminar Kerjasama Teknologi Jalan Raya & Pembinaan Korea-Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 APRIL 2025  – Seminar Kerjasama Teknologi Jalan Raya & Pembinaan Korea-Malaysia bertempat di Junior Ballroom, Hotel Intercontinental dianjurkan oleh Kedutaan Republik Korea di Malaysia (Duta Besar Yeo Seung-bae).

Seminar ini telah menghimpunkan lebih 130 peserta, termasuk wakil utama daripada kementerian Kerajaan Malaysia (Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan), institusi awam, serta agensi, institut penyelidikan dan syarikat terkemuka Korea dalam bidang jalan raya dan pembinaan. Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya.

Seminar dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Duta Besar Yeo Seung-bae, diikuti ucaptama oleh Menteri Alexander Nanta Linggi. Selain itu, Jawatankuasa Penganjur Kongres ITS Asia-Pasifik Korea turut membuat promosi khas bagi Kongres ITS Asia-Pasifik 2025 yang bakal berlangsung di Suwon.

Sesi utama seminar memberi tumpuan kepada pengenalan teknologi terkini dalam bidang jalan raya dan pembinaan serta perkongsian pandangan dasar dari Korea dan Malaysia. 

Bagi pihak Korea, KAIA membentangkan projek penyelidikan dan pembangunan utama dalam sektor tanah dan infrastruktur, manakala KEC mengetengahkan keberkesanan sistem kutipan tol elektronik Hi-Pass Korea. 

KICT mempersembahkan inovasi dalam teknologi seni bina dan pembinaan, dan S-Traffic bersama DL E&C berkongsi kejayaan projek luar negara terkini. 

Selain itu, Persatuan Pembinaan Antarabangsa Korea menghuraikan dasar-dasar yang dirangka bagi menyokong pengembangan global syarikat Korea.

Bagi pihak Malaysia, LLM dan CREaTE memberikan gambaran mengenai trend dan kemajuan terkini dalam industri jalan raya dan pembinaan negara, manakala CIDB membincangkan strategi untuk mengukuhkan pertukaran teknologi dan tenaga kerja antara Korea dan Malaysia.

Dalam ucapan alu-aluannya, Duta Besar Yeo menekankan bahawa seminar ini adalah hasil langsung daripada rundingan peringkat tinggi antara menteri infrastruktur Korea dan Malaysia pada tahun lalu. Beliau melahirkan keyakinan bahawa acara ini akan merangsang kerjasama dalam teknologi pembinaan dan infrastruktur jalan raya.

Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi memuji syarikat infrastruktur Korea atas peranan penting mereka dalam projek mercu tanda Malaysia seperti Jambatan Pulau Pinang dan Menara Berkembar Petronas, yang kini menjadi sebahagian penting landskap bandar negara ini.

Beliau turut menegaskan bahawa seminar ini akan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat antara Korea dan Malaysia dalam sektor pembinaan. 

Beliau juga menyuarakan harapan agar Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Infrastruktur dan Pembinaan yang kini sedang diteliti oleh KKR dan MOLIT, dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0