MAJLIS PELANTIKAN PEGAWAI PENGUASA PROJEK DAN PENYERAHAN SURAT SETUJU TERIMA (SST) KEPADA KONTRAKTOR BAGI ENAM (6) PROJEK INFRASTRUKTUR JALAN RAYA DAN JAMBATAN
KUALA LUMPUR, 25 MAC 2025 – YB Dato Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya hadir menyaksikan penyerahan surat pelantikan Pegawai Penguasa Projek yang terdiri daripada Pengarah Pembinaan, Pasukan Projek Khas, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan empat Jurutera Daerah serta enam Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang terlantik. Penyerahan ini disampaikan oleh YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya. SST yang diserahkan hari ini adalah untuk projek berikut:
a. Projek menaik aras Jalan Kota Tinggi – Mersing (FT003), Kota Tinggi, Johor. Kontraktor yang menerima SST adalah Syarikat Zinpac Enterprise Sdn. Bhd. Projek bermula pada 18 Mac 2025 dan dijadualkan siap pada Mac 2028 dengan kos projek sebanyak RM130.78 juta. Jalan ini akan dinaik aras di lima lokasi yang sering berlaku banjir sehingga menyebabkan laluan terputus dan kerja - kerja memperelok selekoh yang merupakan kawasan kerap berlaku kemalangan;
b. Projek menggantikan pembetung kepada jambatan di laluan Jalan Paya Kemunting (Jitra) – Bukit Kayu Hitam (FT001), Kedah bernilai RM11.5 juta dan kontraktor yang terpilih ialah Syarikat MSA BINA Sdn. Bhd. Tarikh milik tapak bagi projek ini adalah pada 17 April 2025 dan dijadualkan siap pada April 2027 dengan skop projek menaik taraf pembetung kepada jambatan empat lorong dua hala Piawaian JKR R5 sepanjang 18 meter dan lebar 23 meter serta menaik taraf jalan tuju sepanjang 200 meter;
c. Projek mengganti jambatan Jalan Perwira Jaya – Selancar (FT2490), Rompin, Pahang bernilai RM8.9 juta. Kontraktor yang terpilih ialah Syarikat A2A Ventures Sdn. Bhd. untuk menaik taraf jambatan dari Piawai R3 kepada Piawaian JKR R5 sepanjang 50 meter dengan kelebaran 14 meter dan dijangka siap pada Februari 2027;
d. Projek mengganti Jambatan Gantung di Kampung Rekoh, Rompin, Pahang bernilai RM10.72 juta. Kontraktor yang dipilih ialah Syarikat Libertium Construction Sdn. Bhd. yang akan memulakan kerja pada 15 April 2025 dan dijangka siap pada April 2027. Projek ini merangkumi pembinaan jambatan baharu sepanjang 192 meter dengan piawaian JKR R1, kerja membina jalan tuju sepanjang 608 meter serta pembinaan jambatan sementara untuk kegunaan penduduk sekitar;
e. Projek membina baru Jambatan Konkrit di Kawasan Eco Rimba Kenong Mukim Cheka 2, Pahang bernilai RM7.23 juta. Kontraktor yang terpilih ialah Syarikat SPE Grandvision Sdn. Bhd. yang akan melaksanakan kerja–kerja pembinaan jambatan konkrit baharu mengikut piawaian JKR R1 sepanjang 130m dengan kelebaran 8.9m. Projek ini akan dimulakan pada 16 April 2025 dan dijangka siap April 2027; dan
f. Projek mengganti jambatan FT1292 di Seksyen 2.90, Jelebu, Negeri Sembilan dengan kos projek bernilai RM5.28 juta. Kontraktor yang terpilih ialah Syarikat Global Daten Sentrum Sdn. Bhd. dengan projek yang dijadualkan siap pada April 2027 ini melibatkan skop menaik taraf jambatan kepada jalan tunggal 2 lorong piawai JKR R2 sepanjang 45m dan 9m lebar.
3. Pelantikan hari ini bukti Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited dalam menyediakan infrastruktur yang berkualiti, selamat dan selesa bagi meningkatkan aksesibiliti, mobiliti dan saling keterhubungan antara rakyat Malaysia bandar dan luar bandar selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Program MYJALAN.
4. KKR mengucapkan tahniah kepada semua syarikat kontraktor yang dilantik dan berharap mereka dapat memberikan komitmen kepada aspek kualiti terutamanya dari segi pematuhan spesifikasi, kos dan masa yang ditetapkan, serta mengutamakan aspek keselamatan di kawasan tempat kerja. KKR melalui JKR Malaysia akan memantau kualiti kerja serta menilai prestasi setiap kontraktor dalam memastikan enam projek ini akan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat MADANI.
- Log in to post comments