PROJEK PEMBINAAN 513 UNIT KEDIAMAN WARGA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA DIJANGKA SIAP MENGIKUT JADUAL
KOTA KINABALU, 17 MAC 2025 – Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya telah turun padang bagi meninjau pelaksanaan projek milik Kementerian Pertahanan Malaysia iaitu Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pelbagai Kelas di Kem Lok Kawi, Sabah di mana Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah dilantik sebagai agensi pelaksana.
Projek Reka dan Bina ini dibangunkan di atas kawasan seluas 637 ekar dengan kos kontrak bernilai RM188 juta. Skop projek kuarters kediaman ini merangkumi pembinaan 513 unit RKAT iaitu satu unit Banglo Kelas B2, 12 Blok Kelas G, 4 Blok Kelas F, 2 Blok Kelas E, 4 Blok Kelas C1. Turut dibina ialah kemudahan asas lain seperti rumah sampah, rumah pam, tangki air serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.
Setakat 15 Mac 2025, projek yang telah dimulakan pada 8 Mac 2022 ini telah mencapai status kemajuan projek sebanyak 45.0%. Kelewatan adalah disebabkan oleh masalah kekurangan bahan binaan seperti cerucuk dan simen di Sabah pada fasa awal projek. Pihak kontraktor telah mengemukakan pelan mitigasi bagi mempercepatkan pembinaan dan mengatasi kelewatan. Penggunaan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang diaplikasikan dalam projek ini turut membantu memendekkan tempoh pembinaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja manual khususnya pekerja asing.
Hala Tuju Kementerian Kerja Raya (KKR) 2025 menekankan pembangunan infrastruktur dilaksanakan menepati piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (environment, social, governance, ESG) serta mengikut spesifikasi kualiti, kos dan masa yang telah ditetapkan ke arah SIFAR PROJEK SAKIT.
KKR berharap kontraktor dan kumpulan projek terus bekerjasama rapat berusaha untuk mempertingkatkan momentum kerja, mengatasai kelewatan terutama bahan binaan serta mengekalkan kualiti dan rekod keselamatan di tapak pembinaan agar projek ini dapat disiapkan lebih awal dari jadual yang telah ditetapkan.
- Log in to post comments