JKR DAERAH MERSING TERUS MEMACU PEMBANGUNAN DAN PENYENGGARAAN INFRASTRUKTUR NEGARA DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT MERSING | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

JKR DAERAH MERSING TERUS MEMACU PEMBANGUNAN DAN PENYENGGARAAN INFRASTRUKTUR NEGARA DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT MERSING

MERSING, 10 FEBRUARI 2025 – YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya meneruskan rutin lawatan kerja ke JKR Daerah Mersing meninjau perancangan projek pembangunan dan penyenggaraan infrastruktur negara 2025 bagi daerah Mersing, Johor. 

Sebanyak enam projek Persekutuan telah dikenal pasti bagi tahun 2025 di bawah JKR Daerah Mersing meliputi pembinaan bangunan baru dengan kos bernilai RM50.1juta dan tiga projek penyenggaraan bangunan melibatkan kos bernilai RM 2.1 juta. 

Untuk mengatasi isu kesesakan lalu lintas di bandar Mersing dan meningkatkan keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya, sebanyak tiga projek jalan raya bernilai RM477 juta telah dikenalpasti untuk 2025 yang melibatkan pembinaan dua jalan baharu dan menaik taraf satu jalan sedia ada. Bagi kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan, sebanyak lapan projek telah diluluskan bagi tahun 2025, iaitu tujuh kerja penyelenggaraan Berkala Pavemen (BP) dan satu kerja penyelenggaraan Berkala Bukan Pavemen (BBP) dengan nilai keseluruhan RM7.2 juta. Bagi jalan negeri pula, sebanyak lapan kerja penyelenggaraan bernilai RM 3.75 juta telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2025. 

Sepanjang 2024, JKR Daerah Mersing secara keseluruhan, telah berjaya menyerahkan 10 projek siap dengan kos keseluruhan RM2.9 juta. Ianya meliputi satu projek pembinaan bangunan dan sembilan projek penyelenggaraan bangunan. Sebanyak 52 projek penyelenggaraan telah dilaksanakan bagi Jalan Persekutuan bernilai RM20.31 juta di bawah kontrak Federal Road Maintenance (FRM) yang merangkumi 18 kerja penyelenggaraan Berkala Pavemen (BP) berjumlah RM10.29 juta serta 34 kerja penyelenggaraan Berkala Bukan Pavemen (BBP) bernilai RM10.02 juta. Bagi jalan negeri pula, sebanyak 14 kerja penyelenggaraan telah berjaya dilaksanakan dengan kos keseluruhan bernilai RM5.1 juta. 

Sejak 2022, 56.9 km daripada keseluruhan jajaran 83.68 km Jalan Persekutuan FT003 Jalan Johor Bahru–Endau telah dibaik pulih melalui kontrak Performance-Based Contract (PBC) bernilai RM35.6 juta. Selain itu, peruntukan tambahan sebanyak RM1.4 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja merawat lokasi blackspot iaitu lokasi berisiko tinggi kemalangan di jalan FT 003 daerah Mersing, yang telah dilaksanakan secara setempat (localised repair). 

Sejajar dengan slogan “Pelanggan Diutamakan, Janji Dikotakan” dan selari dengan Hala Tuju KKR 2025 dalam meningkatkan prestasi pembangunan dan penyenggaraan infrastruktur negara ke arah SIFAR PROJEK SAKIT serta Kerangka Malaysia MADANI terutama kemampanan, kesejahteraan dan Ihsan, JKR Mersing bertekad untuk memastikan projek pembangunan dan penyelenggaraan jalan raya terus berjalan lancar. 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0
0
0
0