Inovasi Turapan Campuran Plastik Terpakai SMA Atasi Jalan Berlubang | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

Inovasi Turapan Campuran Plastik Terpakai SMA Atasi Jalan Berlubang

Lojing, Kelantan, 12 Oktober 2024 – YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya meninjau hasil produk inovasi turapan permukaan jalan yang digunakan di Jalan Persekutuan FT185, Jalan Simpang Pulai, Perak ke Lojing, Kelantan berhadapan Masjid Long Tan, Lojing. Produk inovasi ini ialah Stone Mastic Asphalt (SMA) yang menggunakan bitumen terubah suai gred PG76 dengan campuran plastik terpakai yang dikenali sebagai SMA20 - Plastic Modified Binder.

Produk ini adalah hasil inovasi syarikat PETRONAS Research Sdn. Bhd. (PRSB) dengan kerjasama Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia. Produk ini telah digunakan untuk menurap di Jalan Persekutuan FT185, Lojing, Kelantan sepanjang 200-meter dengan ketebalan 50mm pada 10 Januari 2023. Pemantauan prestasi turapan produk ini telah selesai pada 9 Januari 2024 dengan laporan pemantauan dikeluarkan mengikut sukuan tahun iaitu pada bulan Mac, Jun, September 2023 dan Januari 2024. Lokasi ini dipilih bagi membolehkan pembuktian terhadap daya tahan produk di mana ianya digunakan di kawasan berbukit dan dilalui oleh banyak kenderaan berat. 

Berdasarkan laporan dan pemerhatian, Produk SMA20 - Plastic Modified Binder ini melepasi ujian bahan dan campuran bahan serta menunjukkan prestasi yang baik di tapak sepanjang setahun pemantauan. Produk ini telah mematuhi spesifikasi pembinaan jalan JKR iaitu JKR/SPJ/2008-S4 Section 4: Flexible Pavement (Specialty Mix: Stone Mastic Asphalt).

Produk SMA20 terbukti telah lulus ujian di lapangan dan boleh dijadikan bahan alternatif turapan jalan. Produk ini juga telah diluluskan dalam sistem Road Material Approval List (RMAL) JKR iaitu sebuah sistem bagi kelulusan bahan produk pada 23 April 2024. Produk ini dijangka mampu mengatasi masalah jalan berlubang serta dapat meningkatkan daya tahan terhadap aluran, selain dapat menyahut seruan kerajaan dalam pembinaan mampan melalui penggunaan bahan terpakai sebagai inovasi dan teknologi baharu dalam pembinaan dan infrastruktur negara.

Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa komited dalam memastikan jaringan Laluan Persekutuan kekal berkualiti melalui inovasi tekologi penyenggaraan yang berterusan. Ini selaras dengan aspirasi Program MYJalan anjuran KKR yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat dengan penglibatan dan tanggungjawab bersama oleh semua pihak.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6