Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih Jalan Persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley Daerah Kinta, Perak | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih Jalan Persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley Daerah Kinta, Perak

Simpang Pulai, 11 Oktober 2024 – YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia hari ini telah turun padang meninjau kemajuan kerja bagi Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih jalan persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley Daerah Kinta, Perak.

Umum mengetahui bahawa jajaran ini merupakan laluan yang kerap digunakan pengguna jalan raya untuk berulang alik ke Cameron Highlands, Pahang. Kawasan Blue Valley ini telah dikenalpasti awal sebagai lokasi berisiko di sepanjang Jalan Persekutuan dalam dokumen Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun. Sebagaimana diketahui, satu kejadian runtuhan tanah pada cerun di jalan ini telah berlaku di Seksyen 44.1 dan anggaran kedalaman runtuhan setinggi 250-meter dan sepanjang 600 meter. 

Lanjutan kejadian tersebut, Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi projek pembaikan cerun ini. Manakala, Pegawai Penguasa bagi projek ini ialah Pengarah, JKR Perak Darul Ridzuan. Kerja – kerja pembaikan cerun telah dimulakan pada 1 Julai 2022 dan dijangka siap pada Disember 2025. Sehingga 25 September 2024 kemajuan kerja fizikal di tapak telah mencapai 33.31%. 

Secara ringkasnya, skop kerja yang terlibat bagi projek ini adalah kerja ukur tanah, siasatan tanah, kerja-kerja pengukuhan cerun menggunakan contiguous bored pile wall with anchor dan rockfill, kerja-kerja sistem perparitan, kerja-kerja pencegahan dan amaran awal tanah runtuh. Keseluruhan kos bagi pelaksanaan projek ini adalah bernilai RM122 juta. 

Prinsipnya, projek ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam meningkatkan kualiti infrastruktur jalan raya yang selamat lagi selesa terutamanya di lokasi yang terancam bencana seperti kegagalan cerun. Ini selari dengan hasrat Program MYJalan yang diwujudkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR). KKR berharap pasukan pembinaan dapat mengekalkan momentum penyiapan projek ini dengan menepati mutu yang ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa.

Terdahulu YB Datuk Seri Ahmad Maslan melancarkan penyediaan Garis Panduan Pemetaan dan Penilaian Bahaya Cerun bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa Antara Agensi Kerajaan Bagi Pengurusan Cerun / Inter-Governmental Agency Committee for Slope Management (ICSM) kali ke 18 yang dipengerusikan oleh CKC JKR bertempat di Copthorne Hotel Cameron Highland, Pahang.

Garis panduan ini disediakan sebagai salah satu pelan tindakan yang ditetapkan di bawah teras strategik Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) iaitu salah satu kerangka teras strategik yang digariskan dalam Pelan Induk Cerun Negara (PICN), 2009-2023. 

Garis panduan ini telah disediakan sebagai asas lengkap pemetaan berdasarkan kawasan (Area Based) yang dihasilkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan pemetaan secara linear (Linear Based Mapping) yang dihasilkan oleh JKR. Kedua-dua Garis Panduan ini akan menjadi rujukan kepada semua Kementerian/ Jabatan/ Agensi Kerajaan Persekutuan, badan Berkanun Persekutuan dan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan tertakluk kepada penerimaan oleh pihak-pihak berkuasa berkenaan.

Garis panduan ini merupakan dokumen rujukan dan panduan am dalam membuat kerja pemetaan dan menjalankan penilaian ke atas cerun-cerun untuk mengenalpasti tahap bahaya dan risiko cerun. Dengan adanya panduan Pemetaan dan Penilaian Bahaya Risiko Cerun di bawah kerangka teras strategik ini, maka data inventori cerun yang lengkap dapat dihasilkan. Setiap data inventori cerun tersebut akan dianalisis dan kategori tahap bahaya dan risiko bagi setiap cerun dapat dikenalpasti.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
13
14
15
16
17