Jalan Masuk Utama Ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah Telah Siap Untuk Digunakan | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

Jalan Masuk Utama Ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah Telah Siap Untuk Digunakan

Kota Kinabalu, 04 Oktober 2024 – Projek Pembinaan Jalan Masuk Utama ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS) sepanjang 1.5-kilometer telah siap sepenuhnya dan telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi. Majlis penyerahan projek telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya kepada YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

 

Projek milik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini telah dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan kerjasama JKR Sabah. Projek ini dilaksanakan secara tender terbuka di mana pembinaan projek telah dimulakan pada 15 Mac 2021 dengan kos kontrak bernilai RM18.94 juta. Kerja-kerja telah siap sepenuhnya seperti mana keperluan kontrak dan Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 1 Julai 2024.

 

Skop kerja utama projek ini adalah membina jalan baharu yang menyambungkan Jalan UMS ke HUMS sepanjang 1.25 KM termasuk skop menaik taraf Jalan Numbak sepanjang 0.25 KM dan juga melibatkan kerja-kerja pengalihan utiliti. Jalan ini akan memberikan akses laluan ke HUMS dari Jalan UMS yang menghubungkan ke Jalan Yayasan-Kampung Kibagu. Selain itu, jalan ini juga dapat mengurangkan kesesakan aliran trafik dalam kawasan UMS dan dapat menjimatkan masa perjalanan ke HUMS.

 

Pasukan projek telah berjaya mengatasi pelbagai cabaran dalam pelaksanaan projek ini khususnya bagi skop kerja-kerja pengalihan pelbagai utiliti yang melibatkan agensi seperti Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Telekom Malaysia (TM), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan utiliti dalaman UMS. Pengalihan ini berjaya diselesaikan dengan gangguan bekalan yang sangat minima memandangkan lokasi projek berada dalam kawasan pentadbiran kerajaan negeri, kawasan universiti dan juga kawasan kepadatan penduduk tinggi.

 

Kementerian Kerja Raya (KKR) merakamkan penghargaan kepada KPT yang telah memberikan kepercayaan serta kerjasama kepada JKR Malaysia dan JKR Sabah bagi membolehkan projek ini disiapkan dengan jayanya. KKR turut menyeru kepada pihak kontraktor untuk terus komited memikul tanggungjawab khususnya melaksanakan kerja-kerja rutin penyenggaraan dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) selama setahun iaitu sehingga 1 Julai 2025.

 

Fokus berterusan terhadap jalan raya ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam membina rangkaian jalan raya yang terancang, sistematik dan efisien. Ini adalah selaras dengan aspirasi Program MYJalan KKR yangakan memastikan infrastruktur yang selesa dan selamat secara konsisten diberikankepada seluruh rakyat Malaysia Madani.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
13