Tinjauan Projek Pembinaan Institut Perubatan Forensik Negara IPFN | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

Tinjauan Projek Pembinaan Institut Perubatan Forensik Negara IPFN

Kuala Lumpur, 03 Oktober 2024 - YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah meninjau kemajuan kerja pembinaan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) di bawah seliaan Pasukan Projek Khas 1, Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

Keluasan tapak projek yang berukuran 3.07 ekar ini terletak bersebelahan dengan Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Projek pembinaan IPFN ini telah dimulakan pada 12 Oktober 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada 6 Oktober 2026. Sehingga September 2024 kemajuan fizikal di tapak adalah sebanyak 21.62%. Projek ini dibina oleh syarikat Gadang Engineering Sdn. Bhd., sebuah kontraktor yang dilantik dengan kos bernilai RM188 juta menggunakan kaedah secara reka dan bina.

 

Di samping itu, perancangan serta pengurusan kerja-kerja pembinaan di tapak dilaksanakan menggunakan aplikasi Building Information Modelling (BIM) bagi memudahkan penyelarasan kerja antara disiplin termasuk kerja-kerja penyelenggaraan di masa hadapan.

 

Lebih membanggakan, projek ini telah memperoleh pencapaian pengiktirafan 5 bintang pada tahun 2024 bagi Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pembinaan (SHASSIC) dari Lembaga Pembangunan Indusri Pembinaan Malaysia (CIDB).

 

Selain itu, reka bentuk solar panel di bumbung bangunan merupakan keistimewaan skop pembinaan bangunan ini kerana ia julung-julung kalinya dibina bagi projek di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Secara keseluruhannya, projek ini mempunyai empat (4) skop kerja iaitu membina sebuah blok IPFN setinggi empat tingkat, sebuah blok bangunan Chemical Integrated Store (CIS) setinggi dua tingkat, sebuah blok bangunan M&E serta Chemical Waste Store setinggi tiga tingkat dan membina bangunan sokongan dan kerja-kerja infra.

 

Direka bentuk dengan keluasan lantai mencakup 18,413-meter persegi, IPFN yang baharu ini bakal dilengkapi dengan kemudahan dewan autopsi bagi Patologi Forensik, bilik autopsi bagi Biosafety Tahap 3 (BSL3), muzium perubatan forensik serta kemudahan penyelidikan dan latihan untuk pegawai perubatan dan kakitangan kesihatan.

 

Menerusi pembinaan IPFN ini, ia bakal menawarkan pelbagai perkhidmatan Perubatan Forensik seperti Patologi Forensik, Klinikal Forensik, Odontologi Forensik, Radiologi Forensik, Makmal Forensik Bersepadu, Bank Tisu dan Tulang serta pejabat bagi Pusat Penyelidikan Transplan Nasional (NTRC).

 

Ini menjadikan bangunan IPFN ini sebuah fasiliti yang menempatkan semua kefungsian forensik di dalam sebuah bangunan yang sama dan merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8