Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Penyenggaraan Jalan Persekutuan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Negeri Sarawak
Kuala Lumpur, 4 September 2024 - Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, hari ini telah menyerahkan Surat Setuju Terima bagi penyenggaraan Jalan Persekutuan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Negeri Sarawak bagi tempoh tiga (3) tahun.
Di majlis yang sama juga JKR Sarawak telah dilantik sebagai Wakil Kerajaan bagi pengurusan kerja-kerja penyenggaraan Lebuhraya tersebut. JKR Sarawak merupakan rakan strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia dalam perkara-perkara berkaitan dengan operasi, penyenggaraan dan penyeliaan serta pengawasan pelaksanaan kerja-kerja bagi memastikan pematuhan terma-terma dan syarat-syarat oleh Syarikat.
Syarikat PBH Asset Management Sdn. Bhd. telah dilantik untuk melaksanakan penyenggaraan Lebuhraya Pan Borneo ini dengan tempoh kontrak tiga (3) tahun bernilai RM69,248,876.40.
Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ini telah bermula sejak tahun 2015 mengandungi 11 pakej keseluruhannya. Lebuhraya yang terlibat ini adalah sepanjang 829.40km di mana pakej pertama telah siap pada tahun 2019 iaitu Pakej WPC01 dari Telok Melano ke Semantan.
Beberapa pakej yang telah tamat Defect Liability Period ini akan diserahkan kepada PBH Asset Management Sdn. Bhd. secara berperingkat bagi menjalankan kerja-kerja penyenggaraan jalan yang terdiri dari Kerja Rutin (sepanjang tahun), Kerja Berkala Pavemen, Kerja Berkala Bukan Pavemen dan Kerja Kecemasan mengikut kelulusan dari masa ke semasa.
Penyenggaraan jalan dan fasiliti awam sama penting dengan pembinaannya bagi memastikan jangka hayat infra rakyat lebih panjang dan kos efektif. Lebih utama dari itu, penyenggaraan ini sangat diutamakan bagi memastikan infra rakyat terutama jalan tetap dalam keadaan baik, selamat dan selesa serta tidak membahayakan pengguna jalan raya.
JKR Sarawak akan pastikan Syarikat PBH Asset Management Sdn. Bhd. mematuhi syarat-syarat yang terkandung di dalam kontrak untuk memastikan Lebuhraya Pan Borneo disenggara dengan baik dan berkualiti yang menepati spesifikasi, masa dan kos yang ditetapkan serta memenuhi ekspektasi Kementerian dan rakyat.
Lebuhraya Pan Borneo ini merupakan bukti komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam membangunkan rangkaian jalan raya secara lebih terancang, sistematik dan efisien. Ini selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR yang ingin menyediakan infrastruktur yang selamat dan selesa kepada semua rakyat Malaysia Madani secara konsisten.
- Log in to post comments