Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446/2024 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446/2024

Putrajaya 16 September 2024 - Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Seri Azman Ibrahim telah hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446/2024 pada 12 Rabiulawal 1446H bersamaan 16 September 2024 (Isnin) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan untuk berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke majlis tersebut. YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan isteri turut hadir bersama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini.

 

Sambutan Maulidur Rasul SAW adalah merupakan salah satu acara rasmi Kerajaan yang disambut setiap tahun sama ada di peringkat Persekutuan dan Negeri sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia. Sambutan ini bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.

 

Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini melibatkan penyertaan seramai 6000 orang dari 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta. Kemuncak Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446/2024 ini adalah Pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446/2024 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

 

Majlis pada kali ini telah menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam orang penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW. Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu-individu yang layak dan telah memberi sumbangan yang cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara. Penerima Anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang telah disumbang untuk pembangunan agama, bangsa dan negara yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran semua. Penerima anugerah dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan yang diurusetiakan oleh JAKIM.

 

Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW tahun ini, Kerajaan telah memilih tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”. Tema ini adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat. Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berteraskan konsep Al-Falah (kejayaan) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia MADANI.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10