Timbalan Menteri Kerja Raya hadir merasmikan Sambutan KIK JKR Tahun 2024 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

Timbalan Menteri Kerja Raya hadir merasmikan Sambutan KIK JKR Tahun 2024

Melaka, 23 Julai 2024 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan telah hadir merasmikan Majlis Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Tahun 2024 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) JKR. Bertemakan “Inovasi Pemangkin Generasi Kreatif”, JKR telah mengambil inisiatif bagi menyahut saranan Kerajaan Malaysia MADANI agar Perkhidmatan Awam terus berdaya cipta menghasilkan inovasi serta menguasai teknologi terkini demi Pembangunan Negara.

Tahun 2024 menyaksikan jumlah penyertaan KIK JKR yang tertinggi iaitu sebanyak 54 kumpulan terdiri daripada 479 orang peserta. Semua kumpulan telah membuat pembentangan dalam Penilaian KIK JKR dan Due Diligence JKR Tahun 2024 pada 2 Julai hingga 11 Julai 2024.

Majoriti produk inovasi yang dipertandingkan menghasilkan output solusi teknikal kepada permasalahan yang dihadapi oleh industri pembinaan, komuniti dan alam sekitar serta ianya berpotensi untuk dikomersialkan atau diadaptasi di peringkat JKR, Agensi Kerajaan mahupun Swasta.

Dalam tempoh 3 tahun bermula tahun 2022 hingga tahun 2024, lebih 100 produk inovasi JKR telah dihasilkan melalui platform Konvensyen KIK dan daripada jumlah tersebut 5 produk berjaya dikomersialkan, empat (4) produk inovasi JKR telah dipatenkan, lima (5) produk inovasi JKR di bawah kategori Reka Bentuk Industri, empat (4) produk inovasi JKR di bawah kategori Cap Dagang, manakala 52 produk inovasi JKR di bawah kategori Hak Cipta. Produk inovasi JKR yang telah dikomersialkan adalah Tongue and Groove Shaped Concrete Drain, i-Supervision, Cut and Compact, Universal Mud Grip Tyre, dan Median Night Reflector Post.

JKR mensasarkan lebih banyak lagi produk inovasi dapat dikomersialkan bagi memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat dan merealisasikan hasrat Kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara pencipta teknologi dan paling berinovatif dirantau Asia.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
13
14
15
16
17