Pusat Kesihatan Prima (PKP) UNIMAS Memanfaatkan Sektor Kesihatan Rakyat dan Pendidikan Perubatan UNIMAS | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

Pusat Kesihatan Prima (PKP) UNIMAS Memanfaatkan Sektor Kesihatan Rakyat dan Pendidikan Perubatan UNIMAS

Kota Samarahan, Sarawak, 13 Jun 2024 - Hari ini telah berlangsung sesi penyerahan Projek Pembinaan dan Penyiapan Pusat Kesihatan Prima (PKP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaku pemilik projek. Majlis Penyerahan ini telah disaksikan bersama oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya dan Pengurusan Tertinggi dari kedua-dua Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kerja Raya.

 

Pusat Kesihatan Prima (PKP) merupakan pusat kesihatan harian bertujuan untuk mengendalikan kes-kes kesihatan yang tidak kritikal seperti fungsi klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). PKP ini juga mempunyai kemudahan seperti Bilik X-Ray, Klinik Batuk, Klinik Mata, Klinik Warga, Makmal Perubatan serta Bilik Pemeriksaan Kesihatan Awam.

 

Disamping kemudahan bagi penduduk setempat, PKP ini juga akan digunakan sebagai fasiliti pembelajaran dan praktikal bagi pelajar perubatan UNIMAS termasuk Bilik Perbincangan dan Bilik Seminar. Justeru, pembinaan PKP ini menepati dua (2) strategi iaitu kemudahan sebuah pusat kesihatan untuk penduduk setempat dan kedua, sebagai alat pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar serta tenaga pengajar UNIMAS sendiri.

 

Perakuan Siap Kerja (CPC) bagi PKP ini telah dikeluarkan oleh pihak Pengarah Projek, Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia pada 2 April 2024. Hasil penyerahan PKP pada hari ini akan membolehkan pihak KPT dan UNIMAS untuk menempatkan dan melakukan pengujian semua peralatan perubatan yang  diperlukan sebelum memulakan operasi secara rasmi yang akan dimaklumkan oleh pihak UNIMAS kelak.

 

Projek pembinaan PKP ini merupakan sebahagian daripada Projek Pembinaan dan Penyiapan Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima (PKP) UNIMAS. Projek  ini dilaksanakan secara dua fasa iaitu Fasa 1 terdiri daripada Pusat Kesihatan Prima (PKP) yang diserahkan pada hari ini, yang turut mengandungi surau, tempat asuhan,  kafeteria, bangunan mekanikal dan elektrikal serta tangki air aras tinggi. Fasa 2 pula mengkhususkan Bangunan Utama Hospital Pengajar UNIMAS.

 

Pembinaan keseluruhan projek ini dilaksanakan oleh pihak kontraktor Perbena Emas Sdn. Bhd. Tarikh Milik Tapak projek ini adalah pada 24 Mac 2021 dan tarikh siap semasa bagi keseluruhan projek ini adalah pada penghujung tahun 2025. Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia telah dipertanggungjawabkan bagi mengawasi dan menyelia projek tersebut. Kos keseluruhan asal projek ini ialah RM485.988 juta menggunakan kaedah Reka dan Bina.

 

Kementerian Kerja Raya (KKR) ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah memberikan kepercayaan serta kerjasama kepada pihak JKR Malaysia, khususnya dalam penyeliaan di tapak sehingga Fasa 1 Projek PKP ini dapat disiapkan dengan jayanya.

 

Proses perancangan dan pembinaan khususnya penyeliaan serta pertanggungjawaban bersama ini telah memberikan pengalaman dan pengajaran (experience and lesson learned) yang amat berguna yang akan dijadikan panduan dalam pelaksanaan projek-projek serupa yang akan datang ke arah pengurusan projek yang lebih baik dari segi kualiti, kos dan masa. KKR turut menyeru kepada pihak kontraktor untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) di mana pihak JKR Malaysiaakan terus memantau proses-proses pasca penyerahan bangunan supaya tiada perkara yang tertangguh dan dilaksanakan mengikut peraturan yang berkuatkuasa.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
13
14
15