Penyerahan Projek Pembinaan Infrastruktur Untuk Perpindahan Skuadron Hawk ke Pangkalan Udara TUDM Labuan
Labuan, 7 Jun 2024 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini telah menyaksikan penyerahan Projek Pembinaan Infrastruktur untuk Perpindahan Skuadron Hawk Ke Pangkalan Udara TUDM Labuan milik Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).
Projek yang bernilai RM19.2 juta telah siap sepenuhnya pada 15 Mac 2024. Turut hadir bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad.
Kerja-kerja yang telah disiapkan termasuklah menaiktaraf Bangunan Ibu Pejabat Sedia ada, Firstline, Garaj & Computer Based Training (CBT) dan Pejabat Aircraft Ground Support Equipment/Vehicle (AGSE/AGSV), Pembinaan Bangunan Ibu Pejabat Baharu, Pembinaan Bangunan Blok Bujang dan Kerja-Kerja Pavemen di Taxiway Bravo dan Taxiway Alpha. Penyerahan projek ini bakal memberi impak positif kepada MINDEF dalam meningkatkan keupayaan Skuadron Hawk dalam menjalankan operasi serta memastikan benteng keselamatan negara sentiasa terkawal di Sabah, Sarawak dan WP Labuan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), Kolej Vokasional Labuan, Markas Tentera Udara MINDEF, Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang telah memberikan kepercayaan serta kerjasama kepada pihak JKR WP Labuan, khususnya dalam penyeliaan di tapak sehingga projek dapat disiapkan dengan jayanya.
Proses perancangan dan pembinaan khususnya penyeliaan serta pertanggungjawaban bersama ini telah memberikan pengalaman dan pengajaran (experience and lesson learned) yang amat berguna yang akan dijadikan panduan dalam pelaksanaan projek-projek yang akan datang ke arah pengurusan projek yang lebih baik dari segi kualiti, kos dan masa.
KKR turut menyeru kepada pihak kontraktor untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) di mana pihak JKR Malaysia akan terus memantau proses-proses pasca penyerahan bangunan supaya tiada perkara yang tertangguh dan dilaksanakan mengikut peraturan yang berkuatkuasa.
- Log in to post comments