Menteri Kerja Raya Turun Padang Meninjau Kemajuan Projek Menaiktaraf dan Lokasi Banjir Kilat Jalan Persekutuan FT3210 Hulu Langat, Selangor | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

Menteri Kerja Raya Turun Padang Meninjau Kemajuan Projek Menaiktaraf dan Lokasi Banjir Kilat Jalan Persekutuan FT3210 Hulu Langat, Selangor

Hulu Langat, Selangor, 19 Mei 2024 – Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya hari ini telah turun padang meninjau Projek Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT3210 dari Persimpangan Jalan Dato’ Alias ke Persimpangan Batu 9, Cheras, Daerah Hulu Langat, Selangor. Tinjauan ini meliputi juga projek pembinaan Jejambat yang merentasi persimpangan Batu 9 Cheras tersebut. Ini bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan di samping aspek& keselamatan di tempat kerja yang sentiasa diberi keutamaan dalam pelaksanaan semua projek Kementerian.

 

Turut hadir turun padang ialah Yang Berhormat Tuan Mohd Sany Hamzan, Ahli Parlimen Hulu Langat, Yang Berhormat Datuk Wira Johan Abd Aziz, ADUN Dusun Tua, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Zahrul Hakim Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Hj. Ibrahim Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan, Tuan Ir. Mohd Zawawi Zakaria, Timbalan Pengarah JKR Negeri Selangor, Unit Projek Khas, pihak perunding dan kontraktor yang dilantik.

 

Pelaksanaan projek ini telah diluluskan di bawah peruntukan pembangunan Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Kesebelas (RP4, RMKe-11). Objektif utama projek adalah untuk mengurangkan kesesakan trafik khususnya pada waktu puncak yang berlaku di jalan Persekutuan FT3210 Hulu Langat menghala ke Kuala Lumpur dan juga untuk meningkatkan keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

 

Tender Terbuka digunakan sebagai kaedah perolehan projek ini di mana pembinaan projek telah dimulakan pada 06 Ogos 2021 dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2026 dengan kos kontrak bernilai RM123.660 juta. Antara skop kerja utama projek adalah seperti berikut:

  • Menaiktaraf jalan sedia ada FT001 bermula daripada simpang Taman Suntex sepanjang 1km dan FT3210 dari Persimpangan Batu 9 ke Persimpangan Jalan Dato’ Alias/Kg. Melaka sepanjang 1km daripada Jalan Tunggal 2 lorong kepada jalan berkembar 4 lorong dengan piawai U5;

  • Membina jejambat 2 lorong 1 hala dari arah Hulu Langat ke Cheras;

  • Membina dan menggantikan Jambatan Sg. Sering.

 

Menteri Kerja Raya turut meninjau lokasi yang menerima aduan pengguna jalan raya berkenaan banjir kilat setiap kali hujan lebat turun di laluan FT3210 terutama di jalan masuk ke kawasan perindustrian Hulu Langat. Lokasi tersebut adalah di seksyen 2.45 (Stor Gas Pusaka) dan seksyen 5.45 (Petronas Dusun Nanding). Bagi seksyen 2.45, hasil tinjauan Bahagian Pengurusan Fasiliti (BPF), Kementerian Kerja Raya (KKR) mendapati sebahagian dari punca masalah adalah kawasan pembentung dipenuhi air dan keladak yang berpunca daripada penerokaan tanah yang ditinggalkan oleh pemaju di lokasi berkenaan sejak tahun 2014.

 

Sehubungan dengan itu, BPF telah meluluskan peruntukan berjumlah RM50,000.00 pada Februari 2024 bagi kerja-kerja pembersihan dan telah siap dilaksanakan pada 3 April 2024. Bagi penyelesaian jangka panjang pula, BPF telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat untuk mengadakan penyelarasan bersama agensi terbabit bagi menyelesaikan isu hakisan tanah dan pembersihan outlet culvert di lokasi tersebut bagi mengelakkan banjir kilat daripada terus berlaku.

 

Bagi lokasi seksyen 5.45 (Petronas Dusun Nanding) pula, masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan tersebut adalah disebabkan penerokaan tanah berhampiran lokasi dan fenomena air sungai pasang. JKR Hulu Langat telah memohon Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) Tahun 2024 bagi kerja-kerja menaik taraf longkang dengan kos anggaran bernilai RM2 juta. Namun begitu, fungsi longkang di laluan persekutuan ini hanyalah bertujuan untuk mengalirkan air daripada permukaan jalan dan bukan untuk mengatasi masalah banjir. Justeru, JKR Daerah akan terus mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan PBT yang terlibat bagi penyelesaian jangka panjang.

 

Sehingga Mei 2024, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) Tahun 2024 kepada JKR Hulu Langat sebanyak RM18.36 juta untuk penyenggaraan jalan persekutuan. Kerja-kerja penyenggaraan tersebut melibatkan 7 bilangan kerja berkala pavemen berjumlah RM13.71 juta, 6 bilangan kerja berkala bukan pavemen berjumlah RM1.47 juta, 10 bilangan kerja penyenggaraan jambatan berjumlah RM1.18 juta dan 6 bilangan kerja penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat berjumlah RM2.00 juta dan semua kerja dijangka siap pada hujung bulan September 2024.

 

Pelaksanaan kerja pembaikan dan penyenggaraan ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam menyenggara rangkaian jalan raya selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua rakyat Malaysia Madani secara konsisten dan berterusan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9