Cabutan Undi 64 Kerja Penyenggaraan Jalan Bernilai RM50 Juta Untuk Kontraktor Kecil Bumiputera G1-G4 Sarawak | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

Cabutan Undi 64 Kerja Penyenggaraan Jalan Bernilai RM50 Juta Untuk Kontraktor Kecil Bumiputera G1-G4 Sarawak

Sibu, Sarawak, 24 Mei 2024 - YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia bersama-sama dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Dasar dan Pembangunan, YBhg. Dato' Zahrul Hakim Abdullah hari ini telah membuat cabutan undi bagi Tawaran Kerja Pelaksanaan an Penyenggaraan Jalan Persekutuan Negeri Sarawak yang merupakan sebahagian dari Inisiatif Bajet 2024 Bagi Kontraktor Kecil Bumiputera G1 hingga G4 di seluruh Malaysia.

 

Program ini telah dimulakan pada tahun 2023 menerusi inisiatif Peruntukan Belanjawan Tambahan 2023 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaras dengan komitmen Kerajaan bagi sektor Ekonomi Madani iaitu Memperkasa Rakyat bagi mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan menstruktur semula ekonomi.

 

Pelaksanaan kaedah tersebut telah berjaya memberi impak positif dimana kontraktor G1-G4 dapat melibatkan diri dalam kerja-kerja pembaikan infrastruktur Jalan Persekutuan selari dengan komitmen Kerajaan untuk membantu kelangsungan perniagaan kontraktor kecil dan sederhana.

 

Sebagai kesinambungan kepada program tersebut, Pihak Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan bernilai RM300 juta dalam Belanjawan 2024 bagi Kerja Penyenggaraan Berkala Pavemen dan Berkala Bukan Pavemen di Jalan Persekutuan di seluruh Malaysia yang akan dikendalikan oleh Kontraktor G1 hingga G4.

 

Kerja-kerja penyenggaraan ini ditawarkan melalui kaedah cabutan undi. Berdasarkan peruntukan yang diterima, sebanyak RM200 Juta bagi 336 kerja akan ditawarkan kepada kontraktor di Semenanjung Malaysia, manakala selebihnya iaitu RM100 juta yang melibatkan 121 kerja akan disalurkan kepada Sabah, Sarawak dan Labuan.

 

Majlis cabutan undi pada hari ini melibatkan kerja-kerja di Negeri Sarawak dengan peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM50 juta dan melibatkan 64 kerja. Sebanyak 41 kerja merupakan Kerja Penyenggaraan Berkala Pavemen bernilai RM42.5 juta manakala 23 kerja lagi merupakan Kerja Penyenggaraan Berkala Bukan Pavemen bernilai RM7.5 juta. Kerja-kerja yang ditawarkan perlu disiapkan sepenuhnya pada tahun 2024 dan mestilah mengikut spesifikasi, kualiti dan jadual pelaksanaan yang telah ditetapkan.

 

Wadah dan kaedah cabutan undi ini terbukti dapat memastikan syarikat kontraktor G1 - G4 yang terpilih mampu membekal bahan dan memberikan perkhidmatan yang lebih kompetitif.

 

JKR akan memantau kualiti kerja serta menilai prestasi setiap kontraktor dan penilaian tersebut akan dijadikan asas sama ada kontraktor berkenaan layak untuk dipertimbangkan dalam proses pemberian kerja di masa hadapan.

 

Menteri Kerja Raya berharap supaya semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan program ini, memberikan penekanan kepada aspek mutu kualiti terutama dari segi kos dan masa dan mengutamakan keselamatan di kawasan kerja. Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak akan berkompromi terhadap isu-isu berkaitan kualiti pembinaan dan penyenggaraan dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sentiasa diutamakan selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
13
14
15
16