Kerosakan Lampu Jalan di FT54 Kepong – Kuala Selangor Disebabkan Vandalisma dan Langkah- Langkah Pembaikannya | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

Kerosakan Lampu Jalan di FT54 Kepong – Kuala Selangor Disebabkan Vandalisma dan Langkah- Langkah Pembaikannya

Petaling, Selangor, 15 Mei 2024 - YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya telah turun padang meninjau jalan Persekutuan FT54 Jalan Kepong-Kuala Selangor yang mengalami masalah lampu jalan tidak berfungsi. Permasalahan ini telah berlaku sejak Ogos 2023 yang berpunca daripada kegiatan vandalisma iaitu kecurian kabel dan kecurian komponen peti pembekal voltan rendah (feeder pillar). Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Petaling pada 27 Ogos 2023.

 

Pihak JKR Petaling telah memohon peruntukan untuk pembaikan sistem lampu jalan di laluan ini di mana sebanyak RM500,000.00 telah diluluskan pada Februari 2024. Permohonan peruntukan tersebut dibuat berdasarkan perancangan pembaikan seperti berikut :-

  • Kos penyenggaraan rumput bagi membersihkan semak dan cadangan pemasangan peti pembekal voltan rendah (feeder pillar) yang baharu dengan ciri anti-vandalisma seperti pemasangan barrel lock, sangkar berkunci dan lampu limpah bernilai RM 150,000.00;

 

  • Kos pembaikan kabel bawah tanah dan komponen lampu jalan jenis SON (sedia ada) yang rosak sepanjang KM 31 hingga KM 48 yang menelan belanja berjumlah RM 300,000.00; dan

 

  • Kos pembaikan sistem lampu isyarat berhampiran stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Sungai Buloh yang turut terkesan kerana punca bekalan elektrik sedia ada adalah dari peti pembekal voltan rendah (feeder pillar) yang sama dengan anggaran sebanyak RM50,000.00.

 

Status kerja ini kini diperingkat pengiklanan perolehan dan tarikh memasuki tapak bagi kerja ini dijangka bermula pada pertengahan bulan Jun 2024 dan di jangka siap sepenuhnya pada akhir bulan September 2024. Tempoh kerja pembaikan adalah selama 12 minggu melibatkan skop kerja seperti kerja penyenggaraan peti pembekal voltan rendah (feeder pillar) dan lampu jalan, kerja penyambungan kabel yang telah terputus akibat kecurian dan kerja pemasangan meter.

 

Untuk makluman, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM 100,000.00 bagi kerja-kerja penyenggaraan peti pembekal voltan rendah (feeder pillar) dan kabel di lokasi ini pada tahun 2023. Kerja senggaraan ini telah disiapkan sepenuhnya oleh JKR pada 8 Mei 2023. Malangnya kes vandalisma telah dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab 3 bulan setelah kerja penyenggaraan itu.

 

Justeru, KKR ingin menyeru supaya masyarakat untuk turut bersama-sama memainkan peranan menjaga harta awam demi faedah dan kebaikan bersama dengan melaporkan kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa untuk tindakan.

 

Pelaksanaan kerja pembaikan ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam menyenggara rangkaian jalan raya selaras dengan hasrat Program MYJalan yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua rakyat Malaysia Madani secara konsisten dan berterusan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11