Menyantuni Kampung Angkat MADANI KKR dan Kawasan Pedalaman Bersempena HAWANA 2024 di Sarawak | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

Menyantuni Kampung Angkat MADANI KKR dan Kawasan Pedalaman Bersempena HAWANA 2024 di Sarawak

Kapit, Sarawak, 13 Mei 2024 - Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang disambut pada 29 Mei setiap tahun yang menghimpunkan pengamal media dari seluruh negara telah memilih Kuching, Sarawak sebagai tuan rumah bagi tahun 2024. Tarikh 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional (HAWANA) bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu 85 tahun dahulu iaitu pada 29 Mei 1939.

HAWANA diwujudkan sebagai satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan tertinggi kepada pengamal media di Malaysia. Ini kerana media merupakan platform  yang terbukti penting zaman berzaman dalam membawa rakyat menikmati dan melibatkan diri dalam arus pembangunan negara di samping memupuk perpaduan dan kesatuan dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya. Peranannya merangkumi segala bidang yang melibatkan masyarakat termasuk ekonomi, politik, pendidikan, hiburan, agama, sains, teknologi, kebajikan dan kesejahteraan manusia, alam sekitar dan ekologi.

Sambutan HAWANA juga antara lain boleh mempromosi serta memperkenalkan bandar-bandar utama Malaysia yang dipilih menjadi lokasi penganjuran HAWANA seterusnya mengangkat warisan, budaya dan keunikannya. Dalam konteks ini, negeri Sarawak adalah lokasi yang bakal digali keistimewaannya untuk dipaparkan melalui pena media tahun ini.

Justeru, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya telah mencadangkan pendekatan yang berbeza tahun ini melalui satu siri jelajah bersama media ke Kapit, Sarawak selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Mei 2024. YB Menteri Kerja Raya sendiri telah menyertai ekspidisi ini dan berkongsi first hand exposure berdasarkan pengalaman hidup beliau membesar di Kapit di samping menyaksikan sendiri pembentukan negara Malaysia sebelum dan selepas merdeka. Di samping pekan Kapit, rombongan pengamal media telah di bawa ke Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah di Ulu Katibas, Song, Sarawak yang telah dipilih sebagai Kampung Angkat Madani KKR yang unik.

YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan melalui Ucapan Belanjawan 2024 telah mengumumkan bahawa Kerajaan akan memperkenalkan Program Kampung Angkat MADANI yang memberi tumpuan kepada melengkapkan kemudahan asas di kawasan desa terpinggir yang mempunyai liputan kemudahan 50%  ke bawah.

Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah telah diberikan kelulusan oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk dijadikan sebagai Kampung Angkat MADANI KKR dengan peruntukan sebanyakRM2.5 juta.

Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah terletak lebih kurang 50 kilometer dari Pekan Song. Terdapat tiga buah Rumah Panjang di kampung ini iaitu Rumah Assan, Rumah Radiah dan Rumah Albert Lajong. Walaupun jarak 50 kilometer, tetapi akses ke perkampungan dari Pekan Song sekarang ini hanyalah dengan menggunakan pengangkutan sungai iaitu menaiki perahu yang mengambil masa lebih kurang tiga jam pergi dan tiga jam pulang. Jumlah penduduk kampung tersebut adalah seramai 658 orang dan majoriti penduduk kampung terdiri daripada etnik Iban. Kegiatan ekonomi tempatan adalah terdiri daripada pekerja di sektor awam dan swasta, pertanian, penternakan kecil-kecilan dan perikanan.

Rakyat MADANI di kampung angkat KKR ini bakal menerima projek fizikal yang meliputi pembinaan jambatan yang merupakan satu-satunya laluan penghubung di antara tiga Rumah Panjang tersebut dan pemasangan lampu jalan berasaskan tenaga solar. Pelaksanaan projek bila siap nanti akan membawa manfaat kepada penduduk kampung untuk berhubung dengan selesa dan selamat kerana keadaan jambatan sedia ada yang telah uzur dan membahayakan. Selain daripada itu, pemasangan lampu jalan solar amat diperlukan oleh penduduk kampung demi keselamatan diri, harta benda, haiwan peliharaan serta kemudahan penduduk berhubungan dan melakukan aktiviti bermasyarakat pada waktu malam.

Melalui usaha bersepadu KKR dan kerjasama antara agensi kerajaan serta pihak berkepentingan tempatan, cadangan projek fizikal di bawah program Kampung Angkat MADANI ini akan dapat memartabatkan Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah ke arah pembangunan yang lebih mampan dan holistik serta membolehkan mereka mengikut arus pembangunan negara walaupun berada di pedalaman.

Usaha memperkenalkan inisiatif Program Kampung Angkat MADANI KKR melalui jelajah bersama media ini adalah idea kreatif yang dapat memberikan pendedahan kepada media terutama media yang berpangkalan di Semenanjung untuk melihat dan merasakan sendiri arus pembangunan di kawasan pedalaman. Ini pastinya akan mengkayakan mereka dengan maklumat dan sumber yang kemudian akan dikongsi dengan pembaca di seluruh dunia yang mengakses media mereka melalui media cetak, elektronik mahupun dalam talian. Ini bersesuaian dengan ilustrasi Pena pada logo HAWANA 2024 yang menggambarkan dunia kewartawanan itu adalah menulis dan melaporkan berita yang sahih dan progresif tanpa sempadan untuk kepentingan masyarakat dan negara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
13
14
15
16