Kajian tol baru siap akhir tahun | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

Kerajaan, syarikat konsesi akan bincang berkaitan kos pelaksanaan: Shaziman 

TAMPIN: Proses kajian untuk menggantikan sistem kutipan tol sedia ada dengan sistem baru, Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) bagi mengatasi masalah kesesakan di plaza tol, dijangka siap sebelum hujung tahun ini. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata menerusi sistem baru itu, pemandu hanya perlu menggunakan kad tol prabayar dan memandu melintasi palang pengimbas tanpa perlu memperlahan atau menghentikan kenderaan. 

"Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang membuat ujian sistem baru itu yang juga dikenali sistem gantri di beberapa plaza tol sekitar Lembah Klang. Selepas kajian itu siap, saya akan kemukakan kepada Kabinet. 
"Hasil kajian itu akan dibincangkan dan diperhalusi sebelum dilaksanakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Tampin selepas merasmikan Program Sepakat Bestari Daerah Tampin, di perkarangan Surau Taman Gunung Mas, di sini semalam. 

Katanya, sistem itu sudah digunakan secara meluas di Eropah, Amerika Syarikat, Australia, Kanada serta Singapura melalui penggunaan pengimbas laser untuk mengenal pasti kelas kenderaan sebelum bayaran ditolak daripada kad tol prabayar seperti kaedah Smart Tag dan Touch n Go. 

"Saya berharap sistem baru ini dapat mengatasi masalah kesesakan di tol plaza, terutama pada waktu puncak. Saya tidak mahu pemandu kenderaan membuang masa begitu lama semata-mata untuk membayar tol," katanya. 
Mengenai kos bagi melaksanakan sistem baru itu, Shaziman berkata, kerajaan akan berbincang dengan syarikat konsesi berhubung perkara itu. 

Sementara itu, Shaziman berkata, cadangan memindahkan Plaza Tol Seremban/Labu di tepi lebuh raya sehingga menjadi punca berlaku kesesakan akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Minggu