Penilaian jangka hayat untuk semua projek | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerjaraya mengesyorkan kerajaan melakukan penilaian jangka hayat (LCC) terhadap semua projek kerajaan yang akan dibangunkan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) dan menyediakan peruntukan khusus bagi tujuan penyelenggaraannya. 

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata LCC dapat menentukan apa yang perlu dibuat bagi memastikan penggunaan setiap projek yang dibangunkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin sepanjang tempoh jangka hayatnya sesuatu bangunan menerusi penyelenggaraan berkala. 

“LCC dapat memberi gambaran jelas kepada kerajaan mengenai kesan jangka panjang sesuatu projek, tidak kira bangunan atau jalan, sekali gus membolehkan kita membiayai dan menangani sebarang kos baik pulih pada masa depan bagi melanjutkan jangka hayatnya. 

“Justeru, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesyorkan 10 peratus peruntukan projek kerajaan dalam RMK-10 dikhususkan sebagai kos penyelenggaraan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 bagi kakitangan kementeriannya, di sini semalam. 

Sebagai contoh, kata Shaziman, di Sabah umpamanya ada 130 cerun yang perlu diperbaiki dengan anggaran kos RM680 juta tetapi ia tidak dapat menjamin kestabilannya. 

Mengenai bangunan kerajaan dan Jalan Persekutuan sedia ada, Shaziman berkata, audit dilakukan setiap lima tahun sekali bagi memastikan semuanya berkeadaan baik serta membaik pulih mana yang perlu. 

Mengulas mengenai perbelanjaan peruntukan RMK-9 kepada kementeriannya, Shaziman berkata, lebih 70 peratus atau RM23.26 bilion daripada jumlah keseluruhan RM26.83 bilion peruntukan pembangunan yang disalurkan menerusi JKR sudah dibelanjakan setakat Mei lalu. 

Sementara itu, pada satu lagi majlis perasmian Pameran Reka Bentuk, Hiasan Dalaman dan Bangunan Ke-10 (Archidex 09) petang semalam, Shaziman menggesa sektor pembinaan tempatan menerapkan teknologi moden lebih canggih lagi mesra alam dalam projek yang dilaksanakan. 

Katanya, didorong kesedaran itu, kerajaan melancarkan indeks bangunan hijau (GBI) serta sistem pembinaan berindustri (IBS) dan mengesyorkan konsep itu diterima pakai secara meluas jika sektor pembinaan negara mahu kekal berdaya maju. 

“Beberapa tragedi dalam sektor pembinaan negara sejak kebelakangan ini memerlukan semua badan profesional sektor pembinaan bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan bagi menetapkan standard atau tanda aras baru demi meraih kembali keyakinan orang ramai. 

“Kita perlu berani menghadapi isu semasa yang mempersoalkan integriti dan kewibawaan sektor pembinaan negara, khususnya dari segi keselamatan pembinaan dan aspek keselamatan tempat kerja selain memastikan kerja pembinaan tidak memusnahkan alam sekitar,” katanya. 

Kata Shaziman, pameran bertema ‘Reka Bentuk Asas: Kepintaran Baru?’, yang menekankan aspek inovatif dalam penggunaan bahan binaan itu sesuai dengan keadaan ekonomi semasa. 

Beliau juga kagum dengan Forum Rekaan KL 2009 bersempena pameran itu yang memilih biomimicry atau peniruan alam semula jadi dalam konsep reka bentuk pembinaan kerana memperkenalkan kaedah pembangunan lebih mapan bagi memulihara alam sekitar. 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian