1st International Building Surveying Conference (IBSC 2022)
KUALA LUMPUR, 8 NOVEMBER 2022 – Persidangan 1st International Building Surveying Conference (IBSC) 2022 telah menghimpunkan pembentang kertas kerja dan pengamal bidang Ukur Bangunan dalam dan luar negara selama dua hari iaitu pada 8 dan 9 November 2022 bertempat di Hotel Pullman, Bangsar.
Persidangan anjuran bersama Jabatan Ukur Bangunan, Universiti Malaya (UM), Cawangan Penyelenggaraan Fasiliti Bangunan, Jabatan Kerja Raya, Royal Institution of Surveyors, Malaysia (RISM) dan Malaysian Association of Registered Building Surveyors (MyRBS) ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Hj Wan Sulaiman Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya (KKR).
IBSC 2022 membawa tema ‘Embracing The Future Through A High-Performance Building’ yang mengetengahkan peranan bangunan berprestasi tinggi dalam mencorakkan masa depan negara. Juruukur Bangunan ialah pakar dalam perihal bangunan, khususnya bidang yang merangkumi Kawalan Bangunan dan Pengurusan Ruang; Kawalan Risiko dan Prestasi Bangunan; serta Penyelenggaraan dan Pemuliharaan Bangunan. Bidang-bidang ini merupakan komponen utama untuk mencapai taraf bangunan berprestasi tinggi.
Tiga bidang ini juga merupakan peranan dan tugas utama Juruukur Bangunan di Malaysia, seperti yang digariskan oleh Institusi Juruukur Diraja, Malaysia atau Royal Institution of Surveyors, Malaysia (RISM). Secara langsung, ia akan mempersiap siagakan profesion Jurukur Bangunan yang akan turut berkerjasama dengan profesion lain seperti jurutera dan arkitek untuk memajukan industri pembinaan ke arah aspirasi negara dalam menghasilkan bangunan berprestasi tinggi.
Peranan Juruukur Bangunan juga amat signifikan dengan halatuju Pelan Strategik Organisasi 2021 – 2025 KKR melalui Teras Strategik 2 yang lebih menjurus kepada inovasi, teknologi dan penyelidikan.
Pada masa ini, terdapat beberapa geran penyelidikan yang telah dianugerahkan antara JKR - CREATE dan Fakulti Alam Bina, UM. Selain itu, Fakulti Alam Bina, UM juga mempunyai kemudahan perisian berkaitan BIM untuk penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran, iaitu ArchiBUS dari Amerika Syarikat dan Cype dari Sepanyol yang mampu membentuk kolaborasi erat dengan Jabatan Kerja Raya dan CIDB.
Turut hadir ialah Yang Berbahagia Dato’ Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman Ketua Pengarah Kerja Raya, Yang Berusaha Professor Sr Dr. Anuar Alias Dekan, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, Yang Berusaha Professor Ts Sr Dr. Azlan Shah Ali, Pengerusi 1, 1st IBSC dan Yang Berusaha Sr Dr Syamilah Yakob Pengerusi 2, 1st IBSC dari Jabatan Kerja Raya.
- Log in to post comments