Majlis Kemuncak Sambutan Bulan Kebangsaan Dekad Bahasa Dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Kementerian Kerja Raya Tahun 2022 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
1

Majlis Kemuncak Sambutan Bulan Kebangsaan Dekad Bahasa Dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Kementerian Kerja Raya Tahun 2022

KUALA LUMPUR, 15 SEPTEMBER 2022 - Majlis Kemuncak Sambutan Bulan Kebangsaan, Dekad Bahasa Dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) Tahun 2022 telah berlangsung meriah di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid Kompleks Kerja Raya.

Majlis yang mendapat kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan KKR dan PUSPANITA KKR ini dihadiri YB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya, YBhg. Dato' Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha (KSU) KKR dan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin bin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sempena sambutan program ini, pelbagai aktiviti telah diadakan oleh kementerian untuk semua warga seperti Kuiz Bahasa dan Kemerdekaan, Pertandingan Deklamasi Puisi, Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik, Pertandingan Berbalas Pantun dan Pertandingan Video Tiktok Resensi Buku yang telah disertai oleh warga KKR, JKR, LLM dan CIDB.

Pada majlis ini, para pemenang telah diraikan dan hadiah telah disampaikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya. Mona Mariana Mohd Nur dari JKR menjadi johan Pertandingan Deklamasi Puisi, manakala pemenang Nyanyian Lagu Patriotik dijuarai Nur Annisa Kasim juga dari JKR. Kumpulan Anta Permana JKR pula merangkul johan Pertandingan Berbalas Pantun dan lima pemenang telah dipilih sebagai video terbaik Tiktok Resensi Buku.

Warga Kerja Raya turut menyertai pelbagai program Bulan Kebangsaan yang diaturkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia seperti Program ‘Berjalan Teguh Bersama, Majlis Pelancaran Hari Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022, Program Keceriaan Antara Kementerian Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2022 dan Acara Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Pada tahun ini Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2022 Peringkat Kementerian Kerja Raya diadakan serentak dengan Sambutan Dekad Bahasa dan Dekad Membaca Kebangsaan Tahun 2022 sebagai usaha untuk mengukuhkan semangat patriotik di samping menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan dalam meneguhkan ikatan perpaduan dan mengeratkan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Jati diri Keluarga Malaysia dan citra bangsa Malaysia terserlah apabila berkomunikasi dalam bahasa yang sama.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11