Hospital Sultanah Maliha, Langkawi Bakal Dinaik Taraf Sebagai Hospital Pakar Major
PULAU LANGKAWI, KEDAH, 12 SEPTEMBER 2022 – Perasmian pecah tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff, Sultanah Kedah Darul Aman diiringi oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya, YB Tuan Khairy Bin Jamaluddin, Menteri Kesihatan Malaysia serta YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor, Menteri Besar Kedah.
Projek ini dilaksanakan untuk menaiktaraf perkhidmatan perubatan sedia ada di Hospital Sultanah Maliha demi kemudahaan dan manfaat kepada penduduk di Pulau Langkawi khususnya dan negeri Kedah amnya kepada persekitaran yang lebih kondusif, moden dan selesa. Projek yang dilaksanakan secara Reka dan Bina ini akan memuatkan sebanyak dua ratus dua puluh (220) katil pesakit, menjadikan kapasiti keseluruhan bilangan katil di Hospital Sultanah Maliha sebanyak tiga ratus tiga puluh (330) katil.
Ini sekaligus menjadikan Hospital Sultanah Maliha bertaraf Hospital Pakar Major. Kos kontrak semasa bagi projek ini adalah RM425 juta meliputi skop Kerja Bangunan Blok Hospital baharu 220 katil termasuk enam (6) buah dewan bedah yang lengkap; Kerja-kerja infrastruktur; Pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan; Pembelian Peralatan ICT dan Pembinaan 40 unit kuarters Kelas G untuk kakitangan hospital. Blok parkir bertingkat Bangunan hospital sedia ada akan diintegrasikan dengan Bangunan tambahan hospital baharu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan efektif.
Kerja - kerja pembinaan telah bermula pada 20 Januari 2022 (Tarikh Milik Tapak) dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 16 Julai 2025 dengan tempoh pelaksanaan selama 182 minggu. Projek ini juga akan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (Industrialised Building System -IBS) dan menggabungkan Pemodelan Maklumat Bangunan (Building Information Modelling- BIM). Kaedah ini adalah bertepatan dengan usaha Kementerian untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk, mempercepatkan tempoh pembinaan serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
- Log in to post comments