Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan 2.0 (Hari Ketiga)
KLUANG, JOHOR, 20 OGOS 2022 – Penutup bagi siri Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan 2.0, Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof dan ahli jelajah telah meneruskan perjalanan bagi tinjauan projek cadangan menaik taraf jalan di Jalan Persekutuan FT050 dari Ayer Hitam ke Kluang di Seksyen 33.8 hingga ke persimpangan stadium Kluang di Seksyen 49.1.
Jalan ini merupakan laluan utama tanpa tol yang menghubungkan daerah Batu Pahat, Kluang dan Mersing. Lokasi tinjauan adalah projek Fasa 3B yang melibatkan skop projek membina bahu jalan, median, pusingan U dan juga kerja-kerja berkaitan. Projek ini adalah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dilaksanakan bagi mengurangkan kemalangan maut sepanjang jajaran ini.
Projek ini merupakan kesinambungan daripada projek Fasa 3A yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Oktober 2024. Anggaran kos bagi fasa 3A adalah sebanyak RM219 juta. Lokasi ini telah direkodkan sebagai lokasi kemalangan tertinggi di Malaysia akibat ketiadaan bahu jalan, median dan pusingan U. Sebanyak 52 kemalangan dicatatkan dari tahun 2020 sehingga Jun 2022. Selain itu, laluan ini juga direkodkan sebagai laluan berkapasiti tinggi terutama pada waktu musim cuti perayaan.
Secara keseluruhan, anggaran kos projek bagi menaik taraf FT050, Fasa 3B ini adalah sebanyak RM385.13 juta. Sebagai peneraju infrastruktur negara, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah semestinya akan sentiasa komited dan memberi perhatian dalam pelbagai aspek terutama aspek keselamatan bagi memastikan infrastruktur negara sentiasa dalam keadaan baik demi kesejahteraan dan keselesaan Keluarga Malaysia.
- Log in to post comments