Jelajah Ftroadpedia Zon Timur 3.0 (Hari Kedua) | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
1

Jelajah Ftroadpedia Zon Timur 3.0 (Hari Kedua)

KOTA BHARU, KELANTAN, 12 OGOS 2022 – Hari kedua Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 diteruskan dengan memberi fokus kepada tinjauan pembangunan projek infrastruktur di laluan Persekutuan, negeri Kelantan. Lokasi pertama adalah tinjauan projek Membina Flyover dari arah Kota Bharu merentangi Bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor, Kelantan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof bersama ahli jelajah telah diberikan taklimat dan dibawa untuk meninjau perkembangan terkini projek tersebut. Projek ini melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 1.56 kilometer (km) bermula di KM4.25 dari jalan Kota Bharu ke Pengkalan Kubor FT134 dan berakhir di KM6.06. Projek ini telah bermula pada Februari 2018 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Disember 2022 dengan status semasa 88.60%.

Anggaran kos keseluruhan projek adalah RM105.5 juta. Apabila siap kelak, trafik akan lebih lancar dari arah Kota Bharu ke Pengkalan Kubor, menjadikan laluan lebih selesa serta mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.

Tinjauan seterusnya di Jalan Persekutuan FT66 melibatkan projek menaik taraf Jalan Jeli – Kg.Reka Luar, Kuala Balah, Dabong di KM37.00 – KM38.10 Jeli, Kelantan. Kerja menaik taraf jalan ini dilaksanakan kerana laluan tersebut rendah, mudah dinaiki air ketika musim tengkujuh sehingga menyebabkan jalan tidak dapat dilalui.

Kerja menaik taraf telah bermula pada Disember 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2023. Anggaran kos projek adalah RM8.939 juta melibatkan skop kerja menaik aras jalan, kerja-kerja cerun, jalan, elektrik, pembentungan, perabot jalan dan pengalihan utiliti.

Bagi tinjauan pembaikan infrastruktur pasca banjir, ahli jelajah dibawa melalui lokasi FT185 Seksyen 60.000 – 62.000, Jalan Lojing – Gua Musang, Kelantan. Di laluan ini, kerja-kerja pembaikan jalan dan cerun telah diadakan ekoran daripada kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh yang berlaku pada Januari 2021.

Kerja-kerja baik pulih jalan rosak dan lain-lain kerja berkaitan telah dilaksanakan bermula pada Mei 2021 dan siap sepenuhnya pada September 2021 dengan kos RM6 juta. Manakala bagi kerja pembaikan cerun di laluan FT185 Sek 60.000, Gua Musang – Cameron Highlands telah bermula pada Januari 2021 dan siap sepenuhnya pada September 2021 dengan kos RM4.740 juta.

Pada hari sama, diadakan satu sesi libat urus antara Menteri Kanan Kerja Raya bersama ahli Jawatankuasa Perancang Wilayah (JPW) Kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands-Kinta-Lojing (CEKAL). Ia bagi membincangkan dan berkongsi maklumat pemantauan serta penguatkuasaan pembangunan tanah tinggi di sepanjang jajaran FT185 Lojing – Simpang Pulai.

Pengerusi CEKAL adalah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), manakala ahlinya terdiri daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), PLANMalaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS), Jabatan Pertanian Malaysia, wakil Kerajaan Negeri Pahang, Perak dan Negeri Kelantan. Sesi libat urus ini merupakan acara penutup untuk hari kedua Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12