Pembukaan Seksyen Pujut Lebuhraya Pan Borneo Sarawak | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
1

Pembukaan Seksyen Pujut Lebuhraya Pan Borneo Sarawak

MIRI, 7 OGOS 2022 – Fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo sepanjang lebih 786 kilometer (km) merentasi bahagian utara Sarawak hampir siap sepenuhnya. Hari ini satu lagi seksyen di bawah projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu Seksyen Pujut dibuka secara rasmi kepada orang ramai. Acara ini juga merupakan sebahagian program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Sarawak.

Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg. Turut hadir adalah Yang Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof.

Seksyen Pujut adalah seksyen yang dibina sepanjang 15.9 km di bawah Pakej Kontrak Kerja 11 (WPC11). Skop pembinaan di bawah Seksyen Pujut merangkumi pembinaan dua jejambat iaitu jejambat Lapangan Terbang Miri dan jejambat Pujut Link serta dua buah jambatan, iaitu jambatan Sungai Adong dan Sungai Miri.

Jejambat Pujut Link merupakan salah satu daripada empat jejambat iaitu Beluru, Bekenu dan Lapangan Terbang Miri yang dibina dengan panjang 605 meter. Dua lagi seksyen di bawah pakej ini iaitu Seksyen Beluru dan Seksyen Lambir masih lagi dalam proses pembinaan. Anggaran kos keseluruhan projek pembinaan Seksyen Pujut ini adalah RM470 juta.

Seksyen Pujut mula dibina pada 1 November 2016 dan siap sepenuhnya pada 2 Julai 2022. Projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan ini mampu membantu menyuraikan trafik dari Lapangan Terbang Miri ke Kuala Baram yang memberi kemudahan kepada penduduk sekitar Emart Riam, Miri Sentral sehingga Permy Jaya untuk bergerak dengan lebih selesa dan selamat.

Pelaksanaan projek ini juga merupakan bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada, secara lebih terancang, sistematik dan efisien. Ia juga dilakukan bagi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
1
2
3
4
5
6
7
8