Lembaga Jurutera Malaysia Melebarkan Sayap Ke Sarawak Selepas 50 Tahun Memartabatkan Profesion Kejuruteraan | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
1

Lembaga Jurutera Malaysia Melebarkan Sayap Ke Sarawak Selepas 50 Tahun Memartabatkan Profesion Kejuruteraan

KUCHING, 30 JULAI 2022 -  Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah merasmikan bangunan pejabat Sekretariat Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) di Jabatan Kerja Raya, Kuching, Sarawak pada hari ini.

Pembukaan pejabat sekretariat LJM di Sarawak dengan peruntukan kos sebanyak RM70,000.00 ini membolehkan LJM menjalankan fungsinya dengan lebih efisien serta menyediakan perkhidmatan sokongan pentadbiran dan kemudahan yang lebih efektif kepada fraterniti kejuruteraan serta orang awam di Sarawak.

Pejabat Sekretariat LJM ini akan mempercepatkan lagi urusan pendaftaran dan pembaharuan pendaftaran Orang Berdaftar serta syarikat amalan perunding kejuruteraan; penyiasatan dan perbicaraan kes disiplin, kursus pembangunan profesional berterusan atau CPD, program CSR serta lain-lain lagi.

Pada bulan Ogos tahun ini, LJM berusia genap 50 tahun sejak ditubuhkan pada 23 Ogos 1972 bagi menguatkuasakan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (REA1967). Sepanjang penubuhannya, LJM telah melalui banyak fasa perubahan, penambahbaikan dan peneguhan.

Dengan penubuhan Pejabat Sekretariat LJM di Wilayah Sarawak, LJM buat julung kalinya melebarkan sayap dengan meluaskan perkhidmatan fizikalnya ke Sarawak. Untuk rekod, sehingga 29 Julai 2022, LJM hanya beroperasi daripada pejabatnya di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur dengan keseluruhan personnel yang telah mendaftar adalah seramai 222,212 orang dan 201,626 yang masih aktif.

Pembukaan ini adalah merupakan salah satu aspirasi jangka panjang menyokong Konsep Keluarga Malaysia bagi membantu memulihkan negara dari segi ekonomi bagi mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi melalui sektor kejuruteraan serta menyatupadukan rakyat Wilayah Sarawak serta Semenanjung dengan komunikasi lebih efisien.

Dato’ Sri Haji Fadillah turut merasmikan logo ulang tahun ke-50 LJM pada majlis yang sama. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Yang Dipertua, Lembaga Jurutera Malaysia, Dato’ Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Ir. Richard Anak Tajan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
1
2
3
4
5
6
7
8
9