Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Jalan Telupid -Sandakan Rangka Penyelesaian Untuk Keselesaan Dan Keselamatan Pengguna Jalan Raya Di Sabah | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
293436644_412338847598996_2473746233927438493_n.jpg

Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Jalan Telupid -Sandakan Rangka Penyelesaian Untuk Keselesaan Dan Keselamatan Pengguna Jalan Raya Di Sabah

TELUPID, SABAH, 13 JULAI 2022 - Susulan daripada lawatan kerja Menteri Kanan Kerja Raya bersama Timbalan Menteri Kerja Raya serta pihak pengurusan atasan Kementerian Kerja Raya (KKR) bersempena Jelajah FTRoadpedia Negeri Sabah pada 26 hingga 29 Mei yang lalu, satu pasukan petugas khas telah dibentuk bagi mengenalpasti dan mencari jalan penyelesaian jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang untuk mengatasi kesulitan pengguna jalan raya yang melibatkan laluan FT22 dari Sandakan ke Telupid.

Pasukan yang diketuai oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Arthur Joseph Kurup ini telah mengadakan Mesyuarat pertama pada 7 Jun 2022 dengan hala tuju Task Force memfokuskan aspek-aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan untuk mencari kaedah penyelesaian secara bersama. Jajaran yang telah dikenalpasti terdiri daripada Jalan Persekutuan FT22 dan jajaran Projek Lebuhraya Pan Borneo, Pakej Kerja 28, 29 dan 30.

Sehubungan itu, kaedah penyelesaian yang dirancang perlu penglibatan pasukan projek Lebuhraya Pan Borneo yang terdiri daripada Pegawai Penguasa Projek (JKR Sabah), pihak perunding dan kontraktor serta melibatkan juga pihak Konsesi bagi menangani isu di Jalan Persekutuan.

Kaedah penyelesaian jangka masa pendek bagi jajaran Jalan Persekutuan, KKR telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera di kawasan yang telah dikenalpasti. Surat arahan kebenaran belanja telah dimajukan kepada JKR Sabah pada 22 Jun 2022.

Senarai kerja pembaikan melibatkan 5 lokasi Jalan Persekutuan FT22 (Jalan Kota Kinabalu - Sandakan Seksyen 173-174, Seksyen 174-175, Seksyen 175-176, Seksyen 176-177 dan Seksyen 143- 144) meliputi kerja-kerja berkala pavemen mengikut keutamaan di Daerah Telupid. Berdasarkan status semasa sehingga hari ini, kerja-kerja fizikal telah bermula dan dijangka akan siap dalam tempoh 2 bulan.

Bagi jajaran Projek Pan Borneo (Pakej Kerja 28, 29 dan 30) pula, kerja-kerja pembaikan jalan akan dilaksanakan dengan segera menggunakan peruntukan di dalam kontrak yang dianggarkan sebanyak RM5.5 juta untuk ketiga-tiga pakej kerja yang melibatkan laluan dari Batu 32, Sandakan sehingga Sg. Baoto.

Kerja-kerja telah bermula pada awal bulan Julai 2022 dan lokasi yang kritikal akan dibaiki terlebih dahulu. Kerja-kerja pembaikan awalan ini dijangka akan siap dalam tempoh 2 bulan. Dalam masa yang sama, kerja-kerja untuk mengenalpasti laluan yang berisiko akan terus dibuat oleh JKR Sabah dan pihak perunding dan akan dibentangkan pada mesyuarat Task Force secara berperingkat.

Bagi kaedah penyelesaian jangka masa sederhana, JKR Sabah akan melaksanakan pemeriksaaan terhadap pelan pengurusan trafik di tapak secara berkala untuk memastikan kontraktor sentiasa mematuhi aspek keselamatan jalan raya semasa pembinaan.

Selain itu, perabot-perabot jalan di Jalan Persekutuan akan ditambahbaik dengan menambah papan tanda amaran mengikut kesesuaian lokasi, meningkatkan kerjasama secara berterusan dengan pihak JPJ serta mengkaji semula had laju ketika pembinaan untuk Projek Lebuhraya Pan Borneo untuk mengurangkan risiko kemalangan pengguna jalan raya.

Pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo merupakan kaedah penyelesaian jangka masa panjang yang sedang dilaksanakan Kerajaan bagi menyediakan kemudahan infrastruktur yang selamat dan selasa di Negeri Sabah. Antara inisiatif lain yang diambil Kerajaan termasuklah memastikan Jalan Persekutuan berada dalam keadaan baik dan diselenggara mengikut tatacara dan piawaian yang telah ditetapkan. Usaha-usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian infrastruktur jalan raya yang terancang, sistematik dan efisien buat Keluarga Malaysia di Sabah.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
293300585_412338150932399_6435212779758045340_n.jpg
293400023_412338204265727_5036817724736535409_n.jpg
 293447516_412338507599030_518480376847978156_n.jpg
 293536081_412338794265668_3712679556409355113_n.jpg
 293545057_412338994265648_3945740064169581949_n.jpg
 293590660_412338464265701_6972940739895808368_n.jpg
 293667640_412338904265657_6877645174744416400_n.jpg
 293698955_412338277599053_1052501362134263856_n.jpg