1,000 terjejas jalan runtuh | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

PONTIAN 4 Sept. - Kira-kira 1,000 pengguna jalan di antara Pekan Nanas ke Tanjung Bin, melalui Mukim Sungai Karang terputus hubungan apabila jalan di Kampung Buloh Kasap runtuh akibat hujan lebat, di sini, semalam.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kukup, Jamilah Endan, kerosakan sepanjang 150 meter itu menyebabkan penduduk yang berulang alik menggunakan jalan tersebut terpaksa mencari jalan alternatif.

Mereka yang terlibat termasuk penduduk di Kampung Belolok, Kampung Peradin, Sungai Senai, Sungai Karang dan Simpang Kiri.

Menurut Jamilah, turut sama mengalami kesukaran ialah pekerja dari luar Tanjung Bin yang berkerja di kawasan itu serta pelajar sekolah menengah di SMK Sri Kukup.

Tambahnya, beliau telah melawat kawasan itu semalam bersama Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Pontian, Nasir Buntat; Penolong Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Hafiz Aliman dan Penghulu Mukim Sungai Karang, Ali Mohammad.

"Hasil lawatan tersebut, pihak JKR Daerah Pontian menganggarkan kos pembinaan semula jalan yang runtuh tersebut ialah sebanyak RM170,000.

"Memandangkan kos pembinaannya tinggi, saya akan membawa perkara tersebut kepada pengetahuan pentadbiran daerah dan kerajaan negeri supaya satu peruntukan khas dapat diberikan," katanya di sini, hari ini.

Jamilah berkata, jalan tersebut merupakan laluan penting ke kawasan berkenaan terutama bagi mereka yang berulang alik ke projek pembangunan di Tanjung Bin, Sungai Boh dan Pekan Serkat.

Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Sungai Karang, Abdul Hamid Sungging, berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempercepatkan kerja pembinaan semula jalan tersebut.

"Jalan itu boleh dianggap sebagai nadi laluan pedalaman yang melibatkan Mukim Sungai Karang, Mukim Air Masin dan Mukim Serkat kerana ia memendekkan perjalanan ke Pekan Nanas atau sebaliknya," ujar beliau.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia