Pemeriksaan JKR ke tapak binaan | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Kementerian Kerja Raya kini melaksanakan beberapa peraturan baru untuk memastikan kontraktor mematuhi segala butiran projek yang dipersetujui dalam perjanjian supaya jadual kerja berjalan lancar.

Menterinya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, antaranya ialah dengan mewajibkan kontraktor dan jurutera yang terlibat dalam projek ditemuramah oleh pegawai kementerian sebelum sesuatu kontrak diluluskan.

Menurut beliau, kaedah itu juga bertujuan memastikan mereka yang bertanggungjawab benar-benar terlibat dalam projek yang dilaksanakan.

Beliau berkata, pegawai dari kementerian akan mengadakan lawatan ke tapak bagi memastikan mereka yang terlibat benar-benar terbabit dengan projek yang dilaksanakan.

"Saya telah bagi satu arahan baru kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu tiap-tiap suku tempoh kontrak, kita akan membuat penyiasatan. Jika kontraktor tidak menjalankan kerja, kita akan mengenakan penalti serta-merta.

"Pada masa dahulu, apabila kita tetapkan kontrak, hanya kontraktor sahaja yang datang pejabat kementerian dan menandatangani kontrak. 

"Tetapi kini tidak seperti itu lagi. Kita juga ingin melihat siapakah pegawai-pegawai mereka, siapakah jurutera mereka dan apabila mula bekerja kita juga akan pastikan adakah pegawai yang dinamakan dalam kontrak itu bekerja di tapak atau tidak," katanya.

Samy Vellu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ir. Hasni Mohammed (BN-Pontian) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan asal Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Samy Vellu berkata, jika kontraktor gagal menjalankan kerja mengikut spesifikasi kerajaan boleh meminta pihak tersebut membaikinya dengan menanggung sendiri kos pemulihan.

"Jika kontraktor gagal atau enggan berbuat demikian maka kerajaan boleh melantik kontraktor berasingan untuk membaiki kerja-kerja berkenaan dan kos yang ditanggung oleh kerajaan akan dikenakan pada kontraktor asal," katanya.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia