JKR bayar terus kepada kontraktor kecil | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

PUTRAJAYA: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengendalikan sendiri pemberian kontrak kecil dan membayar terus kepada kontraktor kelas F untuk projek kerajaan yang diberikan kepada kontraktor utama.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata langkah itu bagi mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi kontraktor kecil, terutama pembayaran daripada kontraktor utama.

"Oleh kerana banyak kontraktor kecil yang sedang bekerja dengan kontraktor besar menghadapi banyak masalah, termasuk tidak mendapat bayaran, maka untuk mengatasinya JKR memutuskan untuk memberi tugas dan membayar terus kepada mereka.

"Bayaran ini akan dipotong daripada kontrak yang kita tandatangani dengan kontraktor besar," katanya selepas mesyuarat jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan dan Kemudahan Infrastruktur yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Ir Hamzah Hasan.

Samy Vellu berkata, beliau meminta CIDB melatih 13,000 kontraktor kelas F, Kumpulan kontraktor terbabit adalah mereka yang memulangkan borang kajian dan bancian CIDB terhadap kira-kira 40,000 kontraktor kelas F baru-baru ini.     

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian