PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan Pelan Induk Industri Pembinaan Negara (CIMP) bagi menambah daya saing sektor itu serta meningkatkan produktiviti, tahan lasak, dinamik dan bertaraf dunia, sekali gus menjana kekayaan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Najib berkata, pelan induk tujuh teras itu antara lain memberi penekanan kepada penggunaan teknologi termaju dan kaedah terkini mempertingkatkan kemampuan syarikat serta kemahiran pekerja supaya industri pembinaan negara mampu menyediakan penyelesaian bertaraf dunia.
"Kita mahu industri ini terus mapan dengan syarikat pembinaan dapat berkembang menjadi syarikat lebih besar dan berkemampuan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan dan Kemudahan Infrastruktur di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.
Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir Hamzah Hasan.
Najib berkata, mesyuarat jawatankuasa itu turut memutuskan strategi pelaksanaan pelan induk berkenaan bagi memastikan matlamat pelan induk tujuh teras yang dicadangkan CIDB itu dicapai.
Katanya, satu jawatankuasa kecil membabitkan Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Kementerian Kewangan akan ditubuhkan bagi menyelia pelaksanaan teras pelan induk berkenaan.
"Kita memberi tumpuan kepada industri pembinaan berikutan impak kepada ekonomi negara amat besar kerana dari segi guna tenaga, kira-kira 800,000 terbabit secara langsung dan tidak langsung," katanya.
Najib berkata, industri pembinaan negara dijangka mencatatkan pertumbuhan purata 3.5 peratus dalam rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
"Pertumbuhan tahun ini agak menggalakkan di mana industri pembinaan negara melihat kepada perkembangan yang lebih positif," katanya.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan dan Kemudahan Infrastruktur akan terus memantau pelaksanaan projek besar dalam RMK-9 bagi memastikan kelancarannya.
Katanya, pada umumnya projek yang dirancang berjalan lancar dengan projek bernilai RM50.89 bilion atau 25.4 peratus daripada peruntukan RM200 bilion sedang atau sudah dilaksanakan.
"Inilah jumlah yang dibelanjakan dan kita akan memantau pelaksanaan projek ini terutama yang membabitkan kepentingan awam. Jika ada masalah berbangkit, jawatankuasa kabinet akan cuba menyelesaikan masalah terbabit," katanya.