Tidak tahan gempa | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Selepas turut mengalami gegaran akibat beberapa siri gempa bumi yang melanda Indonesia, mungkin sudah tiba masanya Malaysia juga mengambil langkah tertentu bagi menghadapi kesan bencana alam itu.

Ini kerana, menurut Ketua Kajian Kejuruteraan Gempa Bumi dan Struktur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Azlan Adnan, tidak ada satu pun bangunan di negara ini direka bentuk tahan gempa bumi.

Beliau mendedahkan kajian yang dijalankan pihaknya mendapati, hampir kesemua bangunan di negara ini hanya mampu bertahan sehingga ke satu tahap tertentu bergantung kepada struktur, reka bentuk, ketinggian bangunan dan keadaan tanah.

Dalam hal ini, Azlan memberitahu pihaknya telah mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mewujudkan panduan reka bentuk bangunan konkrit di Malaysia.

"Ia masih di peringkat cadangan dan kita perlu menunggu keputusan daripada jurutera-jurutera profesional mengenainya sebelum cadangan itu diusulkan kepada kerajaan," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Pagi ini, tiga gempa bumi dilaporkan berlaku di Bengkulu, Sumatera, Indonesia iaitu yang pertama pukul 8.43 pagi ini berukuran 4.9 pada skala Richter diikuti yang kedua pada pukul 9.40 pagi pada 5.1 skala Richter.

Gempa bumi berikutnya berlaku pada pukul 2.02 petang dengan ukuran 4.0 skala Richter.

Ia merupakan gempa susulan selepas gempa bumi pertama berukuran 8.4 skala Richter melanda Bengkulu pada 12 September lalu, yang mengorbankan 10 penduduk manakala berpuluh-puluh lagi dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Mengenai struktur bangunan di negara ini, Azlan berkata, walaupun ia tidak direka bentuk tahan gempa tetapi kebarangkalian untuk runtuh sepenuhnya akibat gegaran kesan bencana alam itu, amat rendah.

"Keretakan bangunan akan berlaku tetapi runtuh sepenuhnya agak sukar," ujarnya.

Dalam hal ini, beliau menasihati orang ramai supaya jangan panik apabila berlaku gegaran sebaliknya mencari tempat perlindungan yang sesuai bagi mengelak daripada dihempap barang-barang.

"Apa yang kita lihat sekarang, orang ramai akan segera keluar dari bangunan apabila berlaku gegaran.

"Sepatutnya mereka cari dulu tempat perlindungan dan bila keadaan reda baru keluar dari bangunan," katanya.

Sedangkan menurut beliau, mereka mungkin dihempap barang-barang yang runtuh atau tercabut akibat gegaran seperti siling, bumbung, lampu dan kipas.

Azlan berkata, langkah mencari perlindungan sebelum bergegas keluar bangunan dapat mengelakkan berlaku keadaan yang lebih buruk terutama terhadap pesakit di hospital.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Mingguan Malaysia