Jeli: Kerajaan memberi jaminan akan memberikan keutamaan bagi memastikan rakyat tidak akan menaggung beban sekiranya berlaku kenaikan kadar tol di lebuh raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk S Samy Vellu, berkata kementerian sedang mengkaji dan memperhalusi setiap cadangan sebelum dibawa kepada cabinet untuk diputuskan.
"Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab jika tidak membuat kajian (kadar tol), saya akan salah tetapi saya memberi jaminan beban rakyat akan diambil kira," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek memperelok Jalan Jeli-Jelawang-Gua Musang dan majlis berbuka puasa di sini, petang kelmarin.
Samy Vellu berkata demikian bagi mengulas desakan beberapa pihak termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) agar kerajaan tidak menaikkan kadar tol di lapan lebuh raya pada tahun depan.
Beliau berkata, pada masa sama kerajaan perlu bertanggungjawab terjadap perjanjian dengan syarikat konsesi lebuh raya berkenaan untuk mengkaji kadar tol dalam tempoh masa tertentu.
"Apa yang kita mahu adalah 'sama-sama menang' iaitu rakyat tidak akan berasa beban dan syarikat konsesi berpuas hati," katanya.
Samy Vellu juga berkata, kajian terhadap kenaikan tol itu terlebih dulu dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi selepas Aidilfitri ini.
"Bulan puasa ini kita tidak akan ganggu siapa-siapa dan apa yang ada dalam fikiran kami adalah macam mana tidak mahu bebankan rakyat." katanya.
Sementara itu, kementerian itu memperuntukan RM70 juta bagi memperelokan jalan berkenaan yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi