KUALA LUMPUR: Beberapa jalan utama di ibu kota sesak teruk berikutan hujan lebat lebih dua jam, petang semalam dan keadaan bertambah buruk apabila terowong Smart di Jalan Sungai Besi di sini, terpaksa ditutup bagi mengalirkan air ke kawasan takungan berhampiran.
Difahamkan penutupan sementara terowong berkenaan dibuat bagi mengelak banjir di beberapa kawasan di ibu kota.
Bagaimanapun, banjir kilat dilaporkan melanda beberapa jalan utama di ibu kota mengakibatkan kesesakan teruk lebih sejam ketika warga kota dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Antara jalan mengalami kesesakan Bulatan Kampung Pandan, Jalan Tun Razak menghala Cheras, Lebuhraya Persekutuan, Bulatan Batu Caves, Jalan Ampang dan Jalan Chan Sow Lin menghala Seremban serta Ampang Point.
Jurucakap Bahagian Operasi Smart berkata, terowong itu ditutup mulai jam 6 petang selepas menerima amaran daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai paras air di beberapa kawasan mencecah peringkat berjaga-jaga.