Tebing runtuh buat kali kedua | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR: Hujan lebat selama beberapa jam pada Ahad lalu mengakibatkan kejadian tanah runtuh di tebing bukit berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Petaling di sini, sehingga melimpah ke kawasan sekolah berkenaan.

Satu daripada blok bangunan sekolah berkenaan yang menempatkan 30 pelajar pendidikan khas sindrom Down terjejas teruk apabila lumpur melimpahi koridornya dan buat sementara waktu pihak sekolah memindahkan pelajar terbabit ke dewan sebagai langkah keselamatan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Desa Petaling, Iskandar Ahmad, 38, berkata kejadian itu membimbangkan pihak sekolah memandangkan ia kali kedua berlaku dalam bulan ini saja.

"Setiap kali hujan, air yang mengalir dari atas bukit akan mengalir deras ke bawah menyebabkan longkang sedia ada tidak mampu menakungnya seterusnya melimpah dan mengakibatkan tanah runtuh," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, semalam.

Kejadian tanah runtuh pertama berlaku pada 24 Oktober lalu dan pihak sekolah sudah membuat laporan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum kakitangan jabatan berkenaan memasang kanvas menutup kawasan tanah runtuh dan tebing bukit yang terjejas.

Bagaimanapun, selepas itu tiada tindakan susulan sehingga berlaku tanah runtuh sekali lagi Ahad lalu dan kejadian kedua lebih teruk.

Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Chiew Lian Keng yang ditemui di sekolah itu semalam berkata, pihaknya sudah menghubungi Alam Flora Sdn Bhd bagi memintanya membersihkan kawasan sekolah yang dilimpahi lumpur. 

Chiew yang mewakili Datuk Tan Chai Ho turut meninjau keadaan sekolah itu dan merancang mengadakan pertemuan empat pihak iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), JKR, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan dan perunding yang dilantik Kementerian Pelajaran bagi mengenal pasti punca kejadian berkenaan.

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro