RM 6 juta naik taraf Sungai Gasi | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

PETALING JAYA Penduduk sekitar Sungai Buloh dan Damansara Damai boleh manarik nafas lega setelah Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM 6 juta bagi menaik taraf Sungai Gasi di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Yong Dai Ying berkata, kerja-kerja naik taraf sungai sepanjang dua kilometer itu bertujuan mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di kawasan berkenaan.

"Projek itu akan bermula dari persimpangan tol Lebuh Raya  Baru Lembah Klang (NKVE) sehingga Sungai Buloh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau laluan Persekutuan 54, Sungai Buloh, di sini baru-baru ini.

Katanya lagi, projek tersebut telah bermula September lalu dan dijangka siap menjelang Mac 2009.

Dai Ying berkata, pelaksanaan projek tersebut merangkumi kerja-kerja mendalam dan melebarkan sungai berkenaan.

Selain itu katanya, tebing sungai berkenaan akan dibina tebing konkrit bagi menghalang hakisan tanah

"Hakisan tanah akibat arus deras sering berlaku di sungai berkenaan. Oleh itu kita mahu tebing konkrit dibina bagi mengukuh struktur tebing sungai sekali gus meningkatkan tahap keselamatan," katanya.

Beliau menambah,projek tersebut dijangka mengambil masa selama setahun setengah untuk disiapkan.

"Orang ramai diharap dapat memberikan kerjasama sepanjang projek berkenaan dilaksanakan," katanya 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia