PULAU PINANG 6 Nov. - UEM Builders Bhd., menyifatkan pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang kini memasuki fasa mengatasi jadual asal dan yakin projek itu dapat disiapkan seperti yang dirancang.
Pengarah Urusannya, Datuk Ridza Abdoh Salleh berkata, kerja-kerja awal projek tersebut kini amat pantas dan dijangka dapat berjalan sebagaimana yang dijadualkan.
"Saya tidak menafikan ada yang mendakwa jambatan tersebut tidak dapat digunakan pada 2011 seperti yang dirancang, tetapi yang pasti kerja-kerja awal projek itu mengatasi jadual yang ditetapkan," katanya pada taklimat media dan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri, di sini malam tadi.
Kos pembinaan jambatan sepanjang 24 kilometer termasuk 17 kilometer di atas air itu adalah sebanyak RM3 bilion.
Ridza berkata, UEM Builders menjangkakan jambatan itu apabila siap akan dapat mengendali sebanyak 88,880 buah kenderaan sehari.
Menurutnya, struktur jambatan kedua Pulau Pinang hanya akan dapat dilihat secara fizikal selepas kerja-kerja membentuk acuan dan kerangka konkritnya selesai pada Mac tahun depan.
Antara kerja-kerja fizikal yang sedang giat dijalankan oleh syarikat berkenaan ketika ini ialah membersihkan kawasan seluas 68 hektar yang bakal dijadikan jajaran atau laluan bagi jambatan itu, katanya.
Katanya, ujian tanah-tanih termasuk di laut, pemasangan gantri, penyediaan acuan dan kerangka konkrit bagi jambatan itu juga sedang rancak dijalankan.
Ketika ditanya mengenai kenaikan kos pembinaan jambatan itu, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada harga bahan binaan.
Pihaknya sentiasa membuat unjuran yang realistik mengenai kos.
"Ketika ini, kos pembinaan jambatan itu adalah sekitar RM3 billion tetapi kita tidak menafikan harga akan meningkat, disebabkan kenaikan bahan binaan," tambahnya.
Jambatan kedua itu yang menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai Selatan dan Batu Maung di kawasan Barat Daya Pulau Pinang, dibina dengan tiang yang mampu menghadapi bencana alam seperti gempa bumi atau tsunami pada kekuatan 7 skala Richter.