Plus keluar jadual perjalanan Deepavali | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 5 Nov- Berikutan keberkesanan cadangan waktu perjalanan pada cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri lalu, Plus Expressway Berhad sekali lagi mengeluarkan pelan perjalanan bagi perayaan Deepavali yang disambut khamis ini.

Ketua Pegawai Operasi Plus, Nik Airina Nik Jaafar berkata, cadangan waktu perjalanan itu bertujuan dijadikan panduan kepada  pengguna lebuh raya dari Lembah Klang agar perjalanan mereka lebih selamat dan efisien untuk mengurangkan kesesakan pada waktu puncak.

Menurutnya hampir 60 peratus pengguna lebuh raya Utara-Selatan mengikut waktu yang disarankan itu pada cuti Hari Raya Aidilfitri lalu dan perjalanan trafik didapati lancar tanpa kesesakan yang ketara.

"Kami menjangkakan jumlah trafik yang tinggi pada cuti Deepavali tahun ini melibatkan sebanyak 1.1 juta kenderaan bermula Rabu hingga Ahad ini berbanding 1.2 juta pada Hari Raya lalu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Nik Airina memberitahu, Plus juga akan mengambil langkah-langkah persediaan seperti yang dilaksanakan pada Cuti Hari Raya lalu seperti menambah 30 peratus kakitangan menjadikan 4,000 yang bertugas di Plaza-plaza tol dan kawasan rehat termasuk 113 pasukan PlusRonda.

Tambahnya,Pasukan Bantuan Kecemasan Plus juga akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik dan penambahan kemudahan seperti tandas awam, surau dan kawasan meletak kenderaan.

Ditanya tentang kadar kemalangan di lebuh raya pada cuti Hari Raya yang lalu, Nik Airina memberitahu, terdapat penurunan tetapi pihaknya masih meneliti statistik tersebut dan akan mengumumkan kemudian.Untuk sebarang pertanyaan tentang jumlah tol dan berita trafik mutakhir, hubungi PLUS-Line di 1800 88 0000.

Pemandu juga boleh mengikuti siaran radio Era, MY Fm, Hitzfm, LiteFM, Sinar, XFresh, THR Raaga dan THR Gegar untuk mendapatkan maklumat trafik terkini. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia