KOTA BHARU-Anggota perkhidmatan awam perlu bermentaliti kelas pertama dalam usaha menghasilkan produk baru yang boleh diketengah dan menaikkan nama negara pada peringkat antarabangsa.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pemikiran kelas pertama dapat mengubah cara berfikir biasa untuk menjadi lebih kreatif serta inovatif kearah membolehkan negara menjadi antara pemain utama dalam menyediakan perkhidmatan para peringkat global.
"Oleh itu, saya berharap kakitangan awam berfikir di luar daripada persekitaran biasa supaya dapat mencipta kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berucap pada majlis penyampaian Anugerah Konvensyen Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) Kebangssaan ke- 24 dan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam 2007, disini, kelmarin.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mod Aiseri Alias, Ketua Pengarah Mampu, Datuk Normah Md Yusof dan Pengarah Institut Tadbiran Awam (Intan), Dr Muhamad Hamzah.
Pada majlis itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggondol Anugerah KMK KSN bagi kategori pengurusan manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia Selangor memenangi kategori teknikal.
Mohd Sidek juga meminta kakitangan awan dan agensi kerajaan tingkat penerokaan dalam inovasi bagi menghasilkan pembaharuan dari segi kaedah dan produk perkhidmatan.
Katanya, melalui inisiatif ini, anggota terbabit mampu membawa perubahan ke pentas dunia melalui hasil ciptaan mereka itu.
"Kita ingin melihat melalui pembaharuan ini, Perkhidmatan Awam Malaysia mampu memahat nama sebagai penyumbang kepada produk inovasi pada peringkat dunia," katanya.