Wujud aliran air bawah tanah? | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

GERIK 14 Nov. - Bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di Tasik Banding yang runtuh semalam dipercayai akibat wujudnya aliran air bawah tanah di tapak bangunan bernilai RM4.5 juta itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di tapak runtuhan itu mendapati terdapat aliran air yang dipercai mengalir dari sungai di puncak bukit yang terletak di belakang bangunan tersebut.

Selain itu, tanah di tapak bangunan itu juga dilihat semakin mendap dan runtuhan masih berlaku kerana keadaan tanah yang basah dan berair.

Sumber dari Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika dihubungi mengesahkan wujudnya aliran air bawah tanah dari atas bukit kebawah dan menghentak struktur bangunan tersebut.

"Asakan air larian bawah tanah ini dikesan berlaku sebelum bangunan itu runtuh lagi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Temenggor, Datuk Hasbullah Osman ketika melawat kawasan kejadian berkata, bangunan itu dipercayai runtuh akibat kesan air dari tasik serta keadaan cuaca yang sering hujan kebelakangan ini.

Katanya, walaupun lokasi tersebut mempunyai pemandangan yang cantik tetapi ia tidak semestinya sesuai untuk membina bangunan.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kejadian ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa," katanya.

Dalam pada itu, seorang pemandu bot pelancongan, Khairul Izwan Dahalan, 22, memberitahu bangunan itu dikesan mula retak dan runtuh pada 23 September lepas.

"Pada Sabtu lepas, bahagian sayap belakang dan bilik tepi bangunan itu runtuh sebelum runtuh sepenuhnya semalam," katanya.

Laporan Utusan Malaysia hari ini memyebut sebuah bangunan dua tingkat milik PTNP yang sudah hamper siap di Tasik Banding di sini, runtuh sama sekali semalam.

Separuh daripada struktur bangunan yang dibina sejak empat tahun lalu itu runtuh pada pukul 8 pagi dan ranap sepenuhnya kira-kira pukul 10 pagi.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian runtuhan bangunan yang belum diduduki itu.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia