Samy Vellu nafi kos bina Istana Negara RM1 bilion | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa kos pembinaan Istana Negara baru di Jalan Duta di sini telah meningkat kepada RM1 bilion.

Beliau sebaliknya menjelaskan, kos pembinaan Istana Negara baru itu yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri dan Kementerian Kewangan ialah RM650 juta.

Katanya, kos itu mengambil kira pembinaan beberapa komponen termasuk bangunan istana, rumah kuarters, sistem keselamatan, kerja-kerja tanah dan beberapa item baru bagi melengkapkan Istana Negara itu sebagai tempat bersemayam seorang raja.

"Kita juga akan membina sebuah flat khas dengan semua keperluan dan kemudahan yang sesuai diberikan kepada seorang raja kerana kita mahu Yang di-Pertuan Agong bersemayam di istana," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Samy Vellu, anggaran awal pembinaan Istana Negara baru yang diluluskan sebelum ini hanya mengambil kira pembinaan bangunan istana, tidak termasuk kerja-kerja tanah, pembinaan jalan, simpang bertingkat, tempat meletak kereta bawah tanah dan kemudahan lain.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu masalah seperti kawasan meletak kereta terhad yang berlaku di Istana Negara sekarang terus berlaku di Istana Negara baru kelak.

"Selain itu, sistem keselamatan dan rumah kuarters untuk pengawal keselamatan turut dibina dalam kawasan istana baru. Bukan kita tambah harga, tetapi komponen yang ada dalam kawasan istana yang bertambah," katanya.

Menyentuh isu kebocoran bangunan milik kerajaan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Samy Vellu berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa harga pembinaan Istana Negara baru itu adalah seperti yang diluluskan, tidak boleh lebih tetapi boleh dikurangkan.

"Tentang masalah bocor, ia boleh diselesaikan. Ini kerana, ada juga rumah 20 tahun tidak bocor, tetapi masuk tahun ke-21 ia bocor. Ada juga rumah 21 hari pun sudah bocor, ada juga rumah 50 tahun pun tidak bocor. 

"Jadi, pembinaan Istana Negara baru ini telah mengambil kira semua teknologi yang ada," katanya.

Istana Negara baru di Jalan Duta dibina di atas tapak seluas 96.52 hektar dan dijangka siap menjelang 2009. Ia akan menggantikan Istana Negara di Jalan Syed Putra di sini yang digunakan sejak 1928.

Kumpulan Seni Reka Sdn. Bhd. dilantik sebagai arkitek manakala Maya Maju Sdn. Bhd. ialah kontraktor pembinaan istana baru tersebut yang berasaskan seni bina Islam dan Melayu.

Pembinaan Istana Negara baru yang lengkap itu membabitkan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong, dewan bankuet, Balairong Seri, rumah pasukan keselamatan, kandang kuda, tempat meletak kereta bawah tanah serta jalan dan infrastruktur-infrastruktur asas lain.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia