RM380j terpaksa dibayar jika tidak naikkan tol | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KERAJAAN terpaksa membayar pampasan berjumlah RM380 juta jika kadar tol di sembilan lebuh raya di negara ini tidak dinaikkan mulai awal tahun depan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu. 

Beliau berkata, lapan daripada lebuh raya itu dijadual menaikkan kadar tol masing-masing mulai Januari dan satu lagi dijadual mulai 1 Oktober tahun depan. 

Antara lebuh raya itu ialah Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Hulu Klang yang perlu dibayar pampasan RM28 juta, Lebuh Raya Utara-Selatan Bahagian Tengah RM18 juta, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson RM178 juta, Lebuh Raya Kulim-Butterworth RM10 juta, Link Kedua Malaysia-Singapura (RM6 juta) dan Jambatan Pulau Pinang RM22 juta, manakala RM75 juta lagi diperuntukkan untuk membayar pampasan kepada Litrak kerana mengurangkan kadar tol daripada RM2.10 kepada RM1.60 yang diluluskan tahun ini, katanya. 

"Ini semua angka untuk satu tahun saja," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini, semalam. 

Ketika M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) bangun dan bertanya sampai bila kerajaan harus membayar pampasan dan rakyat harus membayar tol, Samy Vellu berkata, pihaknya masih berusaha mencari satu kaedah yang boleh menghasilkan suasana `menang-menang? untuk pihak konsesi dan juga pengguna. 

"Perkara Yang Berhormat cakap itu saya sudah fikir sejak enam bulan dulu. Hari-hari saya duduk bersama pegawai saya dan bincang bagaimana nak atasi beban yang terpaksa ditanggung kerajaan," katanya. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian