Kadar di Malaysia paling rendah | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Timbalan Menteri Kerja Raya Ir. Mohd Zin Mohamed berkata, kadar tol di Negara ini adalah yang terendah di rantau ini.

Beliau berkata, pada masa yang sama, kerajaan juga mempertimbangkan kesan kepada rakyat jika ada cadangan untuk menaikkan kadarnya.

"Tarif lebuh raya dan tol sebenarnya bukan menjadi satu isu yang berterusan tetapi setiap tiga tahun sahaja iaitu apabila hendak dinaikkan.

"Bagaimanapun dari segi berapa sen perkilometer (kadar tol yang dikenakan) kepada pihak penggunna, ia merupakan kadar yang termurah di rantau ini," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mohd Zin, sebarang keputusan untuk membatalkan tol tentu melibatkan prestasi syarikat terutama yang disenaraikan di Bursa Saham Malaysia kerana syarikat-syarikat itu mempunyi modal awam yang besar.

Menjawab soalan tambahan Datuk Markiman Kobiran (BN-Hulu Langat) pula, beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM18.7 bilion untuk membina jalan-jalan baru.

Beliau berkata, pembinaan jalan-jalan baru itu adalah satu alternative kepada pengguna yang tidak mahu menggunakan lebuh raya bertol.

Katanya, pembinaan jalan-jalan baru itu dijangka lebih menyeluruh berikutan pelaksanaan koridor pembangunan ekonomi wilayah di Pantai Timur, Utara, Sabah dan Sarawak serta Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Menjawab soalan asal Raja Ahmad Zainuddin, Mohd . Zin Berkata, kerajaan telah membayar pampasan berjumlah RM537.11 juta bagi pengambilan tanah penduduk kampung di lapan negeri untuk pembinaan projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia