Persatuan sambut baik kadar | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR- Beberapa persatuan pengguna hari ini mahu keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol di empat lebuh raya utama menghentikan rancangan peniaga menaikkan harga barangan atas alasann kemungkinan kenaikan tol tahun depan.

Sambil menyambut baik keputusan kabinet hari ini, rata-rata menyifatkan sebagai ketulusan kerajaan dalam isu kebajikan rakyat.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pengumuman itu seharusnya menjadi satu garis panduan kepada syarikat penguasaha lori untuk tidak sewenang-sewenangnya menaikkan caj perkhidmatan tahun depan.

"Sebenarnya mereka sudah mula menuntut  kenaikkan tahun ini. Pelbagai alasan diberi termasuk isu harga tol yang akan naik di lebuh raya.

"Berita baik. Ini satu keputusan untuk rakyat. Jika ada kenaikan tahun depan pun tentu tidak terlalu menyusahkan pengguna," katanya ketika dihubungi di sini.

Hari ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tol pada tahun hadapan di Lebuh Raya Bertingkat Ampang- Ulu Kelang (Prolintas, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint)- Kerinchi dan Damansara Link serta Jambatan Pulau Pinang

Tambah Samy Vellu, keputusan itu menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM 242 juta kepada empat pemegang konsesi berkenaan.

Setiausha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr, Maamor Osman berkata, berita baik itu satu permulaan untuk kerajaan terus mengambil berat kebajikan pengguna dalam isu yang pula.

Menurutnya ia boleh menjadi jaminan  untuk syarikat penguasaha lori tidak menaikkan caj perkhidmatan sesuka hati mereka.

"Mula-mula tiada kenaikan tol. Mungkin kerajaan boleh memikirkan cara untuk mengekalkan harga barang," katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula berkata, berita baik itu seharusnya dilihat sebagai satu amaran kepada semua penguasa perkhidmatan lori untuk tidak menaikkan caj perkhidmatan mereka.

"Kerajaan sudah umumkan berita baik. Pengusaha perkhidmatan lori patut lebih bertimbang rasa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penguasa Lori Selangor dan Kuala Lumpur, Teh Kok Poo berkata, keputusan kerajaan itu bukan jaminan untuk tidak menaikkan caj perkhidmatan mereka.

"Mana boleh. Kita dengar harga minyak dan aksesori lain untuk lori pun akan naik.

"Lagipun kerajaan hanya mengumumkan tiada kenaikan di empat tol utama sahaja.

Bagaimana pula dengan tol-tol lain yang masih perlu digunakan untuk menghantar barang-barang? Jelasnya.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia